24,291 permohonan Solar ATAP diluluskan sehingga September

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 1:20 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

FADILLAH Yusof

KUALA LUMPUR: Sebanyak 24,291 permohonan Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) dengan kapasiti keseluruhan 391.85 megawatt (MW) diluluskan sehingga 15 September lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 30 April lalu apabila kapasiti yang diluluskan hanya 135.92 MW, sekali gus mencatatkan lonjakan hampir 190 peratus dalam tempoh kira-kira empat setengah bulan.

“Bagi meningkatkan kemampuan pengguna domestik, Kerajaan memperkenalkan SuRIA Home dengan peruntukan RM150 juta. Melalui program itu, pengguna yang layak boleh menerima rebat RM600 bagi setiap 1 kilowatt sehingga maksimum RM3,000 bagi pemasangan 5 kilowatt.

“Program itu menyasarkan antara 45,000 hingga 50,000 kediaman sehingga kuota 250MW dipenuhi dan akan tamat pada 31 Disember ini. Sehingga 15 September lalu, sebanyak 12,374 pengguna domestik yang menerima rebat yang berjumlah RM36.2 juta,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) yang bertanyakan pencapaian terkini terhadap Program Solar ATAP dan SuRIA Home, termasuk jumlah kediaman yang menyertainya serta langkah kementerian bagi memperluas akses kepada golongan B40 dan M40.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air turut menjelaskan, pengguna juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan pemasangan solar melalui model pembiayaan pasaran seperti solar leasing atau rent-to-own yang dapat mengurangkan keperluan modal awal.

Katanya, model sedemikian boleh membantu memperluaskan akses kepada isi rumah yang mempunyai kekangan untuk membayar keseluruhan kos pemasangan secara tunai.

“Bagi memastikan manfaat peralihan tenaga dapat diperluas kepada kumpulan B40 dan M40, PETRA akan terus menilai prestasi Solar ATAP dan SuRIA Home, struktur kos pemasangan dan pilihan pembiayaan yang bersesuaian.

“Sebarang penambahbaikan akan mengambil kira keberkesanan bantuan, kemampuan fiskal Kerajaan serta keperluan memastikan manfaat disalurkan secara telus kepada pengguna yang layak,” ujarnya. – UTUSAN

The post 24,291 permohonan Solar ATAP diluluskan sehingga September appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved