
KUALA LUMPUR – Sebanyak 240 permohonan rawatan menggunakan ubat bagi mengawal diabetes jenis dua dan obesiti diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tempoh Januari hingga September lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kelulusan itu melibatkan penggunaan ubat dalam kumpulan agonis reseptor GLP-1 termasuk Ozempic dan Mounjaro, dengan kos keseluruhan RM2.56 juta.
Beliau berkata, permohonan berkenaan diluluskan berdasarkan keadaan kesihatan serta keperluan klinikal setiap pesakit menerusi mekanisme Kelulusan Ubat Khas (UKK).
“Untuk rekod, sebanyak 240 permohonan rawatan diluluskan melibatkan kos keseluruhan RM2.56 juta menggunakan peruntukan sedia ada KKM,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai jumlah pesakit obesiti dan diabetes yang menerima rawatan menggunakan ubat berkenaan di bawah Belanjawan 2026.
Menurut Dzulkefly, KKM komited memastikan pesakit obesiti dan diabetes menerima pengurusan rawatan secara menyeluruh dan berterusan, termasuk intervensi terapeutik serta penjagaan kesihatan bersepadu.
Katanya, kira-kira 7.63 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dianggarkan mengalami obesiti yang boleh meningkatkan risiko diabetes jenis dua, tekanan darah tinggi, penyakit kardiovaskular dan beberapa jenis kanser.
Jelas beliau, rawatan diabetes lazimnya dimulakan dengan ubat makan seperti metformin, manakala ubat GLP-1 diberikan sekiranya terdapat keperluan berdasarkan penilaian klinikal, tahap obesiti dan penyakit sampingan pesakit.
Tambahnya, tiada peruntukan khusus disediakan bagi rawatan menggunakan ubat berkenaan di bawah Belanjawan 2026, sebaliknya kelulusan dibuat menggunakan peruntukan sedia ada KKM. – KOSMO! ONLINE
The post 240 permohonan ubat diabetes, obesiti diluluskan KKM appeared first on Kosmo Online.





