
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong menarik balik kenyataannya yang mempertikaikan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan larangan aktiviti perniagaan ketika solat Jumaat.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Adam Adli Abd. Halim berkata, Poay Tiong sepatutnya menghormati kedaulatan undang-undang di sesebuah negeri serta mengambil kira sensitiviti beragama ketika mengulas perkara berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu merupakan urusan pentadbiran negeri yang mempunyai asas perundangan menerusi enakmen, selaras dengan pengiktirafan terhadap bidang kuasa negeri dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, meskipun terdapat perbezaan pendapat dalam mentafsirkan asas penggubalan sesuatu undang-undang, ia tetap berlandaskan prinsip persetujuan majoriti.
“Dalam konteks negeri Terengganu, ia adalah mandat yang diberikan rakyat negeri itu kepada legislatif dan eksekutif mereka untuk menggubalnya.
“Maka kita wajib hormati mandat tersebut seperti mana kita mahu orang hormati mandat yang diberi kepada kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Poay Tiong melalui hantaran di Facebook miliknya mempersoalkan arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mewajibkan semua premis perniagaan menghentikan operasi selama dua jam pada setiap hari Jumaat.
Beliau membangkitkan isu penguatkuasaan peraturan tersebut yang dilaksanakan di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, daripada sudut pandangan Islam, lelaki Muslim yang diwajibkan menunaikan solat Jumaat juga dituntut meninggalkan urusan jual beli apabila tiba waktunya.
Katanya, kewajipan berkenaan mempunyai sandaran nas al-Quran yang jelas, antaranya menerusi Surah al-Jumu’ah.
“Justeru, perkara ini bukan sekadar amalan budaya atau adat, tetapi tuntutan agama yang berkait secara langsung dengan pelaksanaan ibadah,” katanya.
Beliau berkata, dalam masyarakat majoriti Islam, pelaksanaan dasar yang bertujuan memelihara kewajipan berkenaan juga merupakan amalan yang diterima baik dan wajar difahami dalam konteks kehidupan beragama masyarakat setempat.
Katanya, perbezaan pandangan mengenai sesuatu dasar tidak seharusnya mengetepikan kefahaman terhadap undang-undang, tuntutan agama dan sensitiviti masyarakat.
“Kita boleh berbeza pandangan tentang sesuatu dasar, tetapi perbahasan mengenainya mestilah berasaskan kefahaman terhadap undang-undang, tuntutan agama dan sensitiviti masyarakat,” katanya.
Adam Adli meminta Poay Tiong menarik semula kenyataan berkenaan serta membuat permohonan maaf.
Beliau berkata, sikap saling menghormati perlu menjadi asas kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.
“Saling menghormati mesti menjadi asas kehidupan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.-UTUSAN
The post Adam Adli minta Khoo Poay Tiong mohon maaf appeared first on Utusan Malaysia.






