SEPANG – Tiga penjenayah diburu selepas melarikan 25 beg tangan mewah yang dianggarkan bernilai RM90,000 di sebuah pusat beli-belah di Cyberjaya dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, laporan diterima pihaknya pada jam 12.30 tengah hari, Khamis, daripada seorang wanita yang juga pemilik premis perniagaan beg tangan terbabit.
"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga suspek bertopeng dan berpakaian serba hitam telah memasuki premis tersebut.
"Suspek menggeledah premis dan mengambil beg tangan yang dipamerkan di rak pameran kedai," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati suspek dipercayai menceroboh masuk ke dalam premis dengan cara mengumpil tingkap tandas.
Katanya, polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat serta barang yang dilaporkan hilang.
"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil menyalurkannya dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Mohd Faizal Rashid @ Jaafar di talian 013-2222652," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.



