PEKAN – Sebanyak 14 kemalangan termasuk dua kes maut direkodkan di laluan masuk ke Istana Mahkota di Kilometer 4 Jalan Pekan-Kuantan sejak tahun 2024 hingga Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dua kemalangan maut berlaku pada tahun 2024, manakala 10 lagi kes dicatatkan sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, dua insiden turut dilaporkan di kawasan sama.
"Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada tindakan segelintir pemandu yang membuat pusingan U di tempat larangan sehingga mengundang risiko kepada pengguna lain.
"Laluan itu hanya dikhaskan untuk kegunaan kenderaan petugas istana dan orang ramai dilarang membuat pusingan U di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, tindakan saman boleh diambil mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan isyarat lalu lintas dengan kompaun sebanyak RM300.
Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan telah menjalankan penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya yang mengabaikan isyarat lalu lintas di kawasan tersebut.
Jelasnya, sebanyak 96 keping saman telah dikeluarkan sepanjang tempoh Januari hingga Mei dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan.
"Kita menasihatkan pengguna jalan raya supaya membuat pusingan U di lokasi yang dibenarkan iaitu di lampu isyarat Hotel Ancasa demi keselamatan semua pihak.
"Pengguna jalan raya hendaklah sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta mematuhi semua peraturan jalan raya," katanya.



