
PETALING JAYA – Seramai 26,457 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di Universiti Awam dan Politeknik bagi sesi September menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 seorang.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pemberian itu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM39.7 juta bagi membantu pelajar membuat persediaan awal sebelum memulakan pengajian.
Menurutnya, WPP disediakan khusus bagi meringankan kos persediaan kemasukan ke institusi pengajian tinggi, sekali gus mengurangkan beban kewangan keluarga.
“WPP diberikan kepada pelajar warga Malaysia yang memberikan persetujuan untuk menerima ketika membuat permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam melalui UPUOnline atau portal kemasukan UA.
“Ibu bapa atau penjaga juga perlu merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah selain memenuhi kriteria kelayakan lain yang ditetapkan,” katanya.
Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP menerusi aplikasi myPTPTN sebelum menunaikannya di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad di seluruh negara mulai semalam.
Mereka perlu membawa surat tawaran WPP bersama kad pengenalan (MyKad) ketika urusan di kaunter dan tidak boleh dilakukan oleh wakil.
Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 4 September sehingga 3 November ini.
Sejak WPP diperkenalkan pada 1999 sehingga 31 Julai lalu, lebih sejuta pelajar menerima manfaat kemudahan itu membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.48 bilion. – KOSMO! ONLINE
The post 26,457 pelajar terima RM1,500 WPP PTPTN appeared first on Kosmo Digital.






