BAeK PTPTN tukar pinjaman pelajar miskin kepada biasiswa

LocalPersonal Finance
29 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: BAeK PTPTN tukar pinjaman pelajar miskin kepada biasiswa

PETALING JAYA – Pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar kini berpeluang melanjutkan pe­ngajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) tanpa perlu memikirkan beban kewa­ngan apabila pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka ditukar kepada biasiswa menerusi Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN).

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, inisia­tif itu dilaksanakan bagi memastikan latar belakang sosioekonomi bukan menjadi penghalang kepada pelajar yang layak untuk me­lanjutkan pe­ngajian ke peringkat lebih tinggi.

“Melalui BAeK PTPTN, pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih dan mengikuti pengajian di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di IPTA yang diluluskan pinjaman PTPTN mulai 1 Janua­ri 2026.

“Inisiatif ini penting untuk memastikan tiada pelajar yang layak tercicir daripada pendidikan tinggi hanya disebabkan kekangan kewa­ngan, malah memberi peluang kepada mereka memulakan kerjaya tanpa hutang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif berke­naan diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025 de­ngan peruntukan RM120 juta membabitkan 5,800 anak keluar­ga miskin.

Semasa pelancaran Ranca­ngan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 – 2035 jumlah penerima ditingkatkan kepada 10,000 orang pelajar.

Menurut Ahmad Dasuki, melalui pelaksanaan BAeK PTPTN, pelajar akan ditawarkan biasiswa mengikut jumlah/kadar pinjaman yang layak diterima. Pengeluaran biasiswa akan dibuat setiap semester berdasarkan pengesahan keputusan peperiksaan yang diterima daripada IPTA. Bayaran akan dikreditkan ke akaun bank pelajar.

BAeK PTPTN terbuka kepada warganegara Malaysia berusia ti­dak lebih 25 tahun pada tarikh permohonan, berdaftar dalam pangkalan data eKasih dan kursus yang diikuti di IPTA telah berdaftar dalam Sistem Permohonan PTPTN.

Pelajar juga perlu mempunyai baki tempoh pengajian sekurang-kurangnya satu semester ketika membuat permohonan, tidak mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman serta mempunyai akaun Simpan SSPN yang masih aktif.

Mengulas lanjut, Ahmad Dasu­ki berkata, proses mendapatkan BAeK PTPTN bermula dengan permohonan pinjaman PTPTN menerusi aplikasi web myPTPTN.

“Pelajar akan diluluskan pinjaman PTPTN terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan pengajian. Sekiranya memenuhi syarat BAeK PTPTN, mereka akan menerima dokumen tawaran biasiswa melalui e-mel dan notifikasi dalam aplikasi myPTPTN.

“Dokumen tawaran yang lengkap perlu ditandatangani dan di­serahkan di kaunter PTPTN mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan BAeK PTPTN bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan keluarga, malah menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam pengajian.

“Harapan kami agar bantuan ini memberi dorongan dan motivasi kepada pelajar untuk berjaya dalam pembelajaran, membantu golongan yang benar-benar memerlukan dan secara berperingkat mengurangkan ketidaksamaan so­sioekonomi.

“Paling penting, mereka dapat membina masa depan melalui pendidikan tinggi dan memulakan kerjaya kelak tanpa beban hutang PTPTN,” katanya.

The post BAeK PTPTN tukar pinjaman pelajar miskin kepada biasiswa appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved