WWDC 2025 berlangsung semalam dengan Apple mengumumkan secara menyeluruh perubahan dan inovasi yang akan diperkenalkan pada sistem operasi mereka tahun ini. Terlalu banyak telah diumumkan dan saya menulis artikel ini untuk menyenaraikan 26 ciri baharu paling menarik untuk pengguna iPhone, iPad, Apple Watch, Apple TV, MacBook, iMac dan Vision Pro.
1.Antaramuka Baharu Liquid Glass

Antaramuka baharu Liquid Glass diperkenalkan dengan ia mengembalikan era UI skeumorfik asal iOS yang digantikan dengan rekaan rata pada tahun 2013 menerusi iOS 7. Dengan rekaan seakan kaca, ikon kembali nampak 3D dengan ia memantulkan cahaya. Apabila elemen antaramuka menutupi latar belakang, ia akan dikaburkan lengkap dengan biasan cahaya kaca sebenar. Ura-ura mengatakan rekaan Liquid Glass ini diambil daripada visionOS dan bakal menjadi asas kepada rekaan skrin penuh iPhone ulang tahun ke-20 tahun depan.
2.Penamaan Seragam Pada Semua Sistem Operasi

Penamaan versi semua sistem operasi iOS, iPadOS, watchOS, tvOS, visionOS, dan macOS diseragamkan ke angka 26 tahun ini. Kepada pengguna tiada kekeliruan bila sistem operasi dilancarkan dan sama ada mereka menggunakan versi sistem operasi terkini selepas ini. iOS 18 melangkau terus ke iOS 26 dan visionOS 2 terus melangkau ke visionOS 26. Melangkau versi sistem operasi adalah tidak konvensional tetapi pilihan paling logikal pernah dilakukan Apple.
3.Antaramuka Seragam Rentas Semua Peranti

Bukan nama sahaja diseragamkan, pelbagai elemen antaramuka rentas sistem operasi dilalukan. Kustomasi ikon, warna, tema, latar belakang dan susunan Control Center kini turut digunakan di macOS, iPadOS dan visionOS. Ia boleh diperibadikan mengikut kehendak pengguna. Saya telah lama merungut macOS mempunyai Control Center yang lain degan iOS. Bermula tahun ini saya akan berhenti merungut.
4. Live Translation

Live Translation yang meletakkan sari kata dalam perbualan telefon dan juga FaceTime. Dengan ini kemampuan tidak berkongsi bahasa yang sama bukan penghalang kepada dua insan untuk berbicara. Apabila menaip teks dalam Messages pula, apa yang anda taip boleh diubah terus ke bahasa yang boleh difahami penerima dan sebaliknya pula untuk anda. Sokongan sama juga diberikan dalam Apple Music dengan lirik bahasa asing boleh diubah ke bahasa yang difahami oleh pengguna. Dengan Live Translation, akhirnya iOS 26 setanding dengan ciri yang disokong Google Pixel dan Samsung Galaxy sejak tahun 2024
5.Menyaring Panggilan Telefon – iOS, watchOS dan macOS

Panggilan telefon juga boleh disaring daripada panggilan spam dengan Call Screening. Seterusnya jika melakukan panggilan telefon dan diarahkan menunggu, Hold Assist akan memberitahu pengguna apabila agen khidmat pelanggan sudah bersedia untuk berbicara.
6. Imej Latar Belakang 3D Spatial – iOS

Saya sering melihat iklan aplikasi yang boleh mengubah gambar 2D menjadi 3D yang kemudiannya. boleh digunakan di skrin iPhone. Semua aplikasi ini sebenarnya palsu. Di iOS 26, ciri mengubah gambar menjadi imej 3D spatial akhirnya disertakan dalam aplikasi Photos. Tekan sahaja mana-mana gambar dan ia akan diubah menjadi imej 3D spatial dalam masa beberapa saat sahaja. Gambar yang diambil menggunakan mod Portrait memberikan kesan yang paling realistik. Ini kemudiannya boleh digunakan sebagai imej skrin kunci iPhone atau dilihat dalam mod 3D spatial menggunakan Vision Pro.
7. Visual Intelligence Kandungan Skrin iPhone – iOS

Visual Intelligence ialah jawapan Apple kepada Google Circle to Search. Sebelum ini ia terhad kepada kemampuan mengenali apa yang dilihat menerusi kamera sahaja. Di iOS 26, ia boleh mengenalpasti apakah yang terpapar pada skrin mirip Circle to Search. Carian produk boleh dilakukan dengan integrasi Google Images dan Etsy. Ia juga boleh mengenalpasti tarikh, lokasi dan masa untuk acara tertentu pada tangkapan skrin sebelum menyarankan ia dimasukkan ke dalam kalender.
8.Kini Boleh Menjalankan Aplikasi di Latar Belakang – iPadOS

Adakah tidak masuk akal iPad dengan Apple Silicon yang sama dengan MacBook tidak boleh melakukan perkara yang sama. Ini adalah persoalan sejak cip siri M mula diperkenalkan. Menerusi iPadOS 26, akhirnya Background Tasks membolehkan pemprosesan di latar belakang dilakukan walaupun aplikasi tidak dibuka. Anda akhirnya boleh melayari web di iPad sementara menanti Final Cut Pro memproses video yang telah disunting.
9. Membuka Banyak Aplikasi Serentak Dalam Tingkap – iPadOS

Satu lagi ciri macOS yang dipinjamkan ke iPadOS tahun ini ialah membuka aplikasi dalam pelbagai tingkap. iPadOS 26 kini lebih mirip sebuah sistem operasi komputer sebenar merealisasikan impian “what is a computer?” Apple beberapa tahun lalu. Lebih daripada satu aplikasi boleh dibuka serentak dan dipaparkan dalam tingkap pelbagai saiz. Mungkin satu hari nanti MacBook dengan skrin sesentuh pula akan menjadi realiti. Seperti Martin Luther King, saya hanya boleh bermimpi!
10. Mac Boleh Melakukan Panggilan Telefon – macOS

Komputer macOS kini boleh melakukan panggilan telefon buat pertama kali dengan aplikasi Phone. Sebelum ini kemampuan menjawab panggilan telefon sahaja boleh dilakukan pada sebuah Mac. Setiap panggilan yang dilakukan, diterima dan buku alamat pengguna diselarikan pada semua peranti dimiliki.
11. Live Activites Kini di Mac – macOS

Tidak berakhir dengan meminjam ciri panggilan telefon daripada iOS, macOS 26 juga meminjam ciri Live Activities tahun ini. Komputer riba dan iMac tidak mempunyai Dynamic Island tetapi ini tidak mengapa kerana Live Activities dipaparkan terus pada palang menu di atas skrin. Ciri ini memerlukan iPhone disambungkan kepada Mac. Ucapkan selamat tinggal kepada insiden brader Grab mengamuk anda tidak perasan beliau dah tiba di bawah pejabat kerana anda sibuk bekerja menggunakan MacBook dan tidak melihat telefon.
12. Spotlight Bukan Sekadar Mencari Fail – macOS

Spotlight di macOS kini bukan sahaja boleh mencari aplikasi dan fail tersimpan dalam komputer, tetapi juga boleh melakukan carian yang terpasang pada iPhone yang disambungkan. Aplikasi kemudian boleh dilancarkan terus dari dalam komputer macOS. Selain itu Spotlight boleh digunakan untuk menghantar terus emel tanpa aplikasi emel dibuka terlebih dahulu. Carian spotlight turut boleh diperhalusi mengikut kategori. Tidak tahu di mana tetapan aplikasi yang dibuka di macOS? Anda kini boleh menggunakan Spotlight untuk mencari ciri tertentu dalam aplikasi. Pendek kata Spotlight kini menjadi enjin carian setempat pelbagai ciri dan aplikasi macOS.
13. Aplikasi Games Sebagai Hab Permainan Video Setempat – iOS, iPadOS, macOS

Aplikasi baharu Games diumumkan dengan ia diberikan kepada iOS, iPadOs dan macOS. Ia menjadi hab permainan video setempat. Kesemua permainan video yang dipasang pada peranti akan ditempatkan di dalam Games untuk akses pantas. Maklumat terkini mengenai permainan dapat dilihat dalam aplikasi yang sama dan anda tidak lagi akan terlepas seperti sebelum ini. Koleksi Apple Arcade turut boleh diakses menerusinya.
14. Folder Boleh Diubah Warna dan Dilabel Dengan Emoji – macOS dan iPadOS

Folder fail di macOS dan iPadOS boleh diubah warna dan diletakkan label emoji bagi membezakannya antara saru sama lain. Ini bukanlah inovasi besar tetapi tidak boleh dinafikan membawakan perubahan bagaimana fail disimpan dalam komputer. Sebelum ini di macOS, folder hanya boleh ditanda dengan bulatan berwarna. Dengan ciri baharu ini Folder dapat dikenalpasti tanpa perlu membaca label.
15. AirPods Kini Mengawal Kamera

AirPods tidak dilupakan. Tahun lalu gestur kepala boleh digunakan menjawab dan menolak panggilan telefon. Tahun ini AirPods boleh digunakan untuk menangkap gambar atau memulakan rakaman video dari jarak jauh. Jangan terkejut jika ciri ini pantas dipinjam pengeluar lain kerana ia benar-benar berguna.
16. AirPods Menjeda Kandungan Jika Anda Tertidur

AirPods dikemaskini untuk menjeda kandungan yang sedang didengari jika ia mengesan anda sudah tertidur. Ciri yang amatkan berguna bagi manusia yang gemar mendengar podsiar dan bunyi hingar latar belakang sebelum boleh tidur di waktu malam. Ini akan mengelakkan bateri AirPods dibazirkan kerana kandungan terus dimainkan selepas terlelap.
17. AirPods Beri Peringatan Untuk Mengecas Bila Bateri Rendah

Adalah mengecewakan apabila bateri AirPods rendah ataupun habis apabila ingin digunakan. Dengan kemas kini firmware AirPods seterusnya, ciri notifikasi mengingatkan pengguna untuk mengecas bateri apabila di tahap rendah akhirnya diperkenalkan kerana mengaku sahaja jarang sekali kita memeriksa bateri walaupun widget sudah disokong sejak sekian lama.
18. Workout Buddy Beri Galakan Ketika Bersenam – watchOS

Motivasi untuk bersenam akan meningkat jika ada insan yang memberikan kata-kata semangat. Tetapi di zaman digital ini berapa ramai mempunyai kawan untuk bersenam sekali atau mempunyai jurulatih peribadi? Workout Buddy ialah jurulatih maya yang akan memberikan anda kata-kata semangat sebelum, ketika dan selepas bersenam berdasarkan data kesihatan yang disimpan di Health.
19. Smart Stack Memberikan Saranan Pintar – watchOS

Apple Watch juga kini lebih pintar memberikan saranan aktiviti menerusi Smart Stack. Berdasarkan lokasi, waktu dan tabiat pengguna, aktiviti bersenam yang bersesuaian akan disarankan oleh Smart Stack terus daripada skrin jam. Misalnya jika mengesan kehilangan isyarat selular, Smart Stack akan memberikan saranan anda untuk berpatah semula dan peta jalan kembali akan dibuka di Apple Watch.
20. Gestur Baharu Memusingkan Pergelangan Tangan – watchOS

Membisukan panggilan telefon, loceng penggera dan menutup Smart Stack boleh dilakukan dengan gestur baharu memusingkan pergelangan tangan. Gestur yang berguna ketika anda bersenam dan tidak boleh menyentuh skrin atau melakukan gestur menyentuh dua jari yang diberikan sebelum ini.
21. Paparan Profil Setiap Kali Apple TV Dibuka – tvOS

Di rumah saya terdapat tiga pengguna berbeza Apple TV iaitu saya, isteri dan anak. Setiap satu mempunyai pilihan susunan aplikasi dan imej latar. Dengan tvOS 26, sebaik sahaja Apple TV dihidupkan skrin profil akan dipaparkan. Dengan ini setiap pengguna boleh terus menggunakan Apple TV dengan susunan antaramuka sendiri tanpa perlu pergi ke menu yang memerlukan beberapa langkah tambahan.
22. Karaoke Menggunakan iPhone Sebagai Mikrofon – tvOS

Pemilik Apple TV lazimnya turut mempunyai iPhone. Dengan tvOS 26, ciri baharu menyanyi karaoke menggunakan kandungan Apple Music boleh dilakukan dengan mudah. iPhone menjadi ganti kepada mikrofon dengan suara penyanyi akan dil lontar menerusi speaker seperti sebuah KTV sebenar. Saya sudah mencubanya pagi tadi dan dengan katalog jutaan lagu di Apple Music, saya tak perlu lagi melanggan kepada perkhidmatan ketiga selepas ini.
23. Avatar 3D Persona Lebih Realistik – visionOS

Antara kritikan yang diterima Apple selepas Vision Pro dilancarkan ialah beberapa ciri yang ditawarkan nampak canggung untuk digunakan. Persona ialah avatar 3D sebagai pengganti diri yang boleh digunakan ketika melakukan panggilan FaceTime. Menerusi visionOS 26, Persona nampak lebih realistik dengan peningkatan poligon serta rambut yang nampak realistik. Ini mungkin pesaing kepada Google Beam oleh Apple.
24. Widget Melekap Secara Realistik Ke Dunia Realiti – visionOS

Dunia sebenar dan objek maya boleh disatukan dalam Vision Pro. Menerusi visionOS 26, widget boleh digantungkan ke objek dunia sebenar seakan-akan ia benar-benar wujud. Terdapat bayang-bayang apabila di diletakkan di atas dinding atau permukaan meja. Vision Pro juga mengingati lokasi setiap widget yang diletakkan walaupun selepas di dimatikan. Widget untuk Photos boleh memaparkan gambar spatial yang saya sebutkan di atas dan ia menjadi portal 3D seakan dunia Harry Potter.
25. Melayari Web Secara Spatial – visionOS

Laman web pada awalnya hanya menyokong kandungan 2D sebelum menjadi interaktif lengkap dengan kandungan video. Kemudian objek 3D boleh dipaparkan untuk permainan video. Apple merasakan selepas ini melayari web secara 3D spatial pula akan menjadi norma baharu. Dengan kerjasama beberapa pembangun laman web, gambar yang dipaparkan di laman web akan dipaparkan secara spatial. Model 3D perabot daripada stor atas talian pula boleh diambil dan diletakkan di dunia sebenar untuk dicuba sebelum dibeli.
26- Sokongan PlayStation VR2 Sense dan Logitech Muse – visionOS

Akhir sekali Vision Pro akan menyokong dua lagi peranti kawalan pihak ketiga. PlayStation VR2 Sense boleh digunakan sebagai alat kawalan dunia maya yang tidak dikeluarkan sendiri oleh Apple. Objek maya dalam permainan video kini boleh dikawal dengan PlayStation VR2 Sense sama seperti sokongan PlayStation DualSense sebelum ini. Bagi yang ingin melakar terus dalam dunia maya, sokongan untuk Logitech Muse juga diberikan. Dengan ingin mengawal Vision Pro tidak terhad hanya dengan dua tangan.

