27,664 puntung rokok dikutip sempena Hari Cuci Malaysia di Subang Jaya

LocalEnvironment
29 Sep 2026 • 1:49 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

27,664 puntung rokok dikutip sempena Hari Cuci Malaysia di Subang Jaya

SHAH ALAM, 29 SEPT: Sebanyak 27,664 puntung rokok dikutip menerusi aktiviti plogging sempena Hari Cuci Malaysia 2026 di Pasar Moden SS15, Subang Jaya, baru-baru ini.

Aktiviti yang disertai 552 peserta itu turut mengumpul 278.75 kilogram (kg) bahan kitar semula dan 149.55 kg sampah, menjadikan jumlah keseluruhan kutipan 428.3 kg.

Program yang dilaksanakan serentak di seluruh Selangor itu diadakan bersempena World Cleanup Day 2026.

KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) memaklumkan program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan dan komuniti bagi memperkukuh budaya kebersihan serta pengurusan sisa yang lebih baik.

“Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KDEBWM dalam menyokong usaha PBT dan komuniti untuk memperkukuh budaya kebersihan, pengurusan sisa yang baik serta kelestarian alam sekitar,” menurut KDEBWM menerusi Facebook.

Selain plogging, program itu turut diisi dengan gotong-royong perdana, senamrobik, Recycle Exchange, pembersihan kawasan, pengumpulan sisa pukal dan pameran agensi.

Di Seksyen 5, Bandar Rinching, hampir 24 tan sampah pukal berjaya dikutip menerusi program bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Sementara itu, sebanyak 4.9 tan sisa pukal dikumpul di Lot Kedai Pancang Bedena menerusi kerjasama dengan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu pula, KDEBWM Hulu Selangor bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memastikan kebersihan kawasan terpelihara sebelum, semasa dan selepas program berlangsung.

Pelaksanaan serentak di beberapa lokasi itu memperlihatkan kerjasama berterusan antara KDEBWM, PBT dan komuniti dalam memupuk amalan kebersihan serta pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved