Hari Cuci Malaysia 2026 cipta dua rekod baharu Malaysia

LocalEnvironment
29 Sep 2026 • 7:55 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hari Cuci Malaysia 2026 cipta dua rekod baharu Malaysia

PETALING JAYA: Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan 272,390 peserta di seluruh negara dan pengumpulan 89,221.22 kilogram bahan kitar semula dalam tempoh satu hari.

Pencapaian itu melepasi sasaran awal seramai 200,000 peserta dan pengumpulan 28,000 kilogram bahan kitar semula menerusi program yang dilaksanakan serentak di 469 lokasi seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kejayaan ber­kenaan bukan sekadar pencapaian kementerian, sebaliknya hasil usaha bersama rakyat dalam menjayakan agenda kebersihan negara.

Katanya, semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat masih kukuh dan mempunyai potensi untuk di­terjemahkan kepada perubahan tingkah laku yang berpanjangan.

“Dua rekod yang kita cipta hari ini bukan sekadar tentang angka. Di sebalik angka ini ialah ratusan ribu rakyat Malaysia yang memilih untuk turun bersama-sama, membe­rsihkan persekitaran dan me­ngitar semula demi negara yang lebih bersih dan lestari.

“Rekod boleh dicipta dalam sehari tetapi budaya mengambil masa untuk dibina. Cabaran kita selepas ini ialah memastikan semangat Hari Cuci Malaysia diterjemahkan kepada amalan setiap hari iaitu jangan buang sampah, kurangkan sisa dan jadikan kitar semula sebahagian daripada kehidupan,” katanya dalam kenyataan.

Kor Ming berkata, Hari Cuci Malaysia perlu dilihat melangkaui aktiviti gotong-royong sehari kerana program itu turut berperanan membentuk perubahan sikap masyarakat terhadap kebersihan, pengurusan sisa dan amalan kitar semula.

Katanya, penglibatan besar-besaran rakyat membuktikan agenda kebersihan dan kelestarian negara boleh digerakkan melalui kerjasama kerajaan, masyarakat, sektor swasta dan generasi muda.

“Malaysia yang bersih tidak boleh dibina oleh kerajaan sahaja. Ia memerlukan rasa tanggungjawab setiap rakyat. Hari Cuci Malaysia membawa mesej bahawa menjaga kebersihan bukan tugas pihak tertentu, tetapi tanggungjawab kita bersama.

“Pada masa sama, kita mahu masyarakat melihat bahan buangan daripada perspektif yang berbeza. Bahan yang masih mempunyai nilai perlu diasingkan dan dikitar semula, bukan terus berakhir di tapak pelupusan,” katanya. – UTUSAN

The post Hari Cuci Malaysia 2026 cipta dua rekod baharu Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved