27 pelajar terbaik STPM 2025 terima tajaan yuran pengajian

7 Sep 2026 • 3:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 27 pelajar terbaik STPM 2025 terima tajaan yuran pengajian

PUTRAJAYA: Seramai 27 pelajar terbaik kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 menerima tajaan yuran pengajian bagi melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di 18 Universiti Awam (UA).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pelajar cemerlang daripada pelbagai latar belakang terus mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan akses pendidikan tinggi diberikan tanpa mengira latar belakang keluarga, termasuk kepada pelajar yang mungkin berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian.

“Ada di kalangan kita mungkin daripada anak yang berada di luar, di dalam, jauh, di pedalaman tetapi mendapat keputusan yang sangat baik, tetapi disebabkan kekangan keluarganya, dia tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada pelajar cemerlang STPM 2025 di sini, hari ini.

Menurut Zambry, peluang pendidikan perlu diberikan kepada semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum kerana mereka merupakan aset penting kepada negara.

“Kita ingin melihat supaya setiap anak-anak kita, tidak kira sama ada dia anak Melayu, anak China, anak India, anak orang asli, anak Kadazan, Murut, Iban dan sebagainya, mereka adalah anak-anak kita.

“Mereka adalah aset yang besar kepada kita semua. Berikan ruang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran mereka,” katanya.

Zambry berkata, pemberian tajaan itu juga menunjukkan usaha kerajaan bersama pihak universiti untuk membantu pelajar terbaik negara meneruskan kecemerlangan mereka di peringkat pendidikan tinggi.

Katanya, walaupun tidak semua pelajar dapat menerima tajaan, kerajaan tetap perlu menghargai dan memberikan sokongan kepada mereka yang dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penerima tajaan supaya tidak menganggap kejayaan STPM sebagai kemuncak, sebaliknya menjadikannya sebagai permulaan untuk membina masa depan yang lebih baik. – UTUSAN

The post 27 pelajar terbaik STPM 2025 terima tajaan yuran pengajian appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved