
KULAI: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menyelesaikan hampir 13,000 kes pendaftaran kelahiran lewat pada tahun ini dengan purata kira-kira 1,000 kes sebulan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memberikannya komitmen berhubung perkara tersebut kerana ia merupakan kebimbangan sesetengah keluarga yang berdepan kesukaran mendapatkan sijil kelahiran anak-anak mereka.
“Ketiadaan pendaftaran kelahiran boleh timbulkan kesulitan besar kepada kanak-kanak, terutamanya apabila mereka perlu mendaftar persekolahan atau mendapatkan rawatan di hospital.
“Sehubungan itu, JPN akan terus bekerjasama dengan keluarga terjejas bagi menyelesaikan isu dokumentasi serta memastikan mereka dapat akses kepada perkhidmatan awam yang penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kampung Angkat Madani di Kampung Melayu Sedenak, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.
Tambah Saifuddin Nasution, JPN bukan sekadar mengeluarkan dokumen pengenalan diri, sebaliknya turut mengendalikan pendaftaran kelahiran, perkahwinan dan kematian.
“Baru-baru ini ada dakwaan mengatakan saya menikahkan pasangan bukan Islam, tetapi sebenarnya itu adalah pendaftaran perkahwinan sahaja. Pernikahan dijalankan oleh ketua agama masing-masing.
“Perkara ini perlu dijelaskan kerana bimbang ada pihak yang akan salah faham,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Kampung Melayu Sedenak, manakala Sekolah Menengah Pendidikan Khas Indahpura dipilih sebagai sekolah angkat JPN dengan peruntukan RM100,000.
“Tujuan program ini adalah untuk menangani keperluan penduduk secara terus, terutamanya keluarga rentan dan mereka yang menghadapi kesukaran kewangan. Objektifnya adalah mendekatkan bantuan kerajaan kepada rakyat dan mengenalpasti masalah dihadapi supaya dapat ambil langkah praktikal menanganinya.
“Inisiatif Kampung Angkat Madani kini telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya. Usaha ini melibatkan pencahayaan lampu jalan, parit tersumbat, kemudahan tandas daif, ruang solat kurang selesa, kadar keciciran sekolah serta masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.-UTUSAN
The post 13,000 pendaftaran kelahiran lewat diselesaikan JPN tahun ini appeared first on Utusan Malaysia.






