
KUALA LUMPUR — Seramai 278 jemaah haji Malaysia bagi penerbangan KT051 mendarat di Muscat, Oman semalam susulan isu teknikal pesawat, sebelum dijadual meneruskan perjalanan ke Jeddah awal pagi Rabu dengan menaiki pesawat alternatif.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan penerbangan yang disediakan AMAL by Malaysia Airlines itu dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Muscat pada 6 Mei, jam 3 pagi (waktu Oman).
Penerbangan itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada 5.10 pagi waktu Arab Saudi, hari yang sama.
Menurut TH, semua jemaah yang terlibat telah diberikan makanan dan minuman sebelum dibawa ke hotel penginapan untuk berehat sementara menunggu waktu pelepasan.
“Petugas daripada pihak AMAL by Malaysia Airlines juga telah ditugaskan untuk berada di lapangan terbang berkenaan dengan kadar segera bagi memantau keadaan semasa serta memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara,” kata kenyataan itu.
Pesawat MH8110 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Jeddah terpaksa melakukan pendaratan di Muscat pada jam 4.11 petang semalam waktu tempatan selepas mengalami isu teknikal.
TH sebelum ini menegaskan pendaratan itu dibuat sebagai langkah keselamatan standard, dan semua jemaah berada dalam keadaan baik serta tidak terjejas. - 5 Mei, 2026
The post Masalah teknikal MH8110: 278 jemaah haji penerbangan KT051 dijangka berlepas semula ke Jeddah pagi Rabu appeared first on Scoop.






