Jabatan Insolvensi mendedahkan seramai 29 selebriti masih berada dalam senarai individu bankrap setakat Jun lalu selepas gagal melunaskan hutang kepada institusi kewangan.
Pengarah Insolvensi Bahagian Kebankrapan, Jabatan Insolvensi, Fajrul Shihar Abu Samah berkata, individu terbabit terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk artis legenda, pelakon terkenal, pelakon veteran dan bekas hero remaja yang masih aktif dalam industri hiburan.

Menurutnya, sebahagian daripada mereka tampil sendiri mendapatkan bantuan Jabatan Insolvensi selepas tidak lagi mampu berdepan tekanan diburu pemiutang.
“Ada mereka (artis dan selebriti) ini datang terus berjumpa dengan pihak kita kerana tidak tahan diburu institusi kewangan.
“Bila mereka ‘menyerah diri’, lebih senanglah kita untuk tadbir hutang-hutang mereka. Sebab memang peranan pihak Jabatan Insolvensi menjadi pelindung (orang tengah) antara penghutang dan pemberi hutang,” katanya kepada Kosmo!
Fajrul Shihar berkata, sejak 2012, seramai 66 artis dan selebriti pernah diisytiharkan bankrap. Bagaimanapun, lebih separuh daripada mereka berjaya keluar daripada senarai tersebut selepas mendapatkan bimbingan serta khidmat nasihat daripada Jabatan Insolvensi.
“Jadi yang terkini tinggal 29 orang sahaja masih dalam senarai tersebut, dalam kalangan mereka ini ada yang sudah bergelar artis legenda, pelakon terkenal, pelakon veteran terkenal, bekas hero remaja pun ada, yang pernah menang banyak anugerah pun ada.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mahupun punca sebenar selebriti terbabit dibelenggu hutang berjuta-juta ringgit. Namun, katanya, kebanyakan kes kebankrapan berpunca daripada salah urus kewangan serta hutang pinjaman peribadi atau pembelian aset.

Tambah beliau, kebanyakan selebriti itu menunjukkan komitmen tinggi untuk menyelesaikan hutang kerana mahu keluar daripada status bankrap.
“Jika saya sebut seorang-seorang (nama artis dan selebriti itu) hampir majoriti masyarakat di luar sana kenal. Tetapi apa yang penting mereka ini berusaha untuk membayar hutang.
“Komitmen seperti inilah yang memudahkan pihak kami untuk mentadbir hutang-hutang mereka. Bila disenaraikan muflis, bank tidak cari mereka lagi sebaliknya berurusan dengan kami yang mentadbir hutang-hutang mereka,” jelasnya. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

(Laporan RCI) : Tabung Haji Rugi RM1.4 Bilion, Bonus Kakitangan Tertinggi Dibayar Sehingga 13 Bulan Gaji
The post 29 Selebriti Diisytihar Bankrap, Ada Artis Legenda, Pelakon Veteran Dan Bekas Hero Remaja first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.



