
PETALING JAYA – Seorang selebriti lelaki yang telah diisytiharkan bankrap disifatkan contoh terbaik dalam kalangan artis kerana tidak pernah sesekali culas dalam menyelesaikan tanggungjawab kewangannya.
Pengarah Insolvensi Bahagian Kebankrapan, Jabatan Insolvensi, Fajrul Shihar Abu Samah berkata, artis berusia dalam lingkungan 40-an itu sering memberi kerjasama serta berusaha keluar daripada status bankrap.
“Setakat ini dia beri kerjasama dan ada kesedaran untuk membayar apa-apa pendapatan yang dia dapat.
“Dia selebriti yang boleh bagi contoh. Dia bagi kerjasama, dia kekalkan. Dia pun tak ada kesalahan-kesalahan dan dia tak culas. Walaupun dia bankrap, tapi dia berusaha keluar daripada kebankrapan,” katanya.
Beliau berkata, artis itu juga menawarkan diri untuk menjadi jurucakap kepada golongan selebriti dalam memberi kesedaran berhubung isu bankrap dan tanggungjawab pengurusan kewangan.
Artis itu bankrap pada 2014 melibatkan nilai RM8 juta akibat ditipu ketika menjadi pengarah di sebuah syarikat.
Dalam perkembangan lain, pihaknya menjalin kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia bagi meningkatkan kesedaran artis mengenai pengurusan kewangan dan tanggungjawab menyelesaikan hutang sekali gus untuk bebas status bankrap.
Fajrul Shihar turut menasihati mana-mana individu yang telah diisytihar bankrap supaya tidak melarikan diri serta memberi kerjasama dengan pihaknya.
“Bila kita bankrap, janganlah lari daripada bayar hutang. Kita kena usaha bayar hutang. Walaupun berapa peratus pun, kita bayar juga.
“Jadi apabila sumbangan dan bayaran hutang terkumpul, individu berkenaan boleh dipertimbangkan untuk dilepaskan daripada status bankrap,” ujarnya.
The post ‘Bila kita bankrap, janganlah lari daripada bayar hutang’ appeared first on Kosmo Digital.



