29 tahun bermimpi, UPSI kini antara kuasa sukan disegani

6 Sep 2026 • 5:30 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: 29 tahun bermimpi, UPSI kini antara kuasa sukan disegani
Md Amin (tengah) bersama atlet UPSI pada SUKIPT 2025. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM– Selepas hampir tiga dekad melalui pelbagai kekangan dan cabaran, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini muncul sebagai antara kuasa sukan yang disegani hasil strategi, pengorbanan dan semangat warga universiti untuk membina budaya kecemerlangan dalam bidang itu.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menerusi laman muka buku ( facebook) berkata perjalanan tersebut bermula ketika beliau mendaftar sebagai pelajar Sains Sukan di UPSI kira-kira 29 tahun lalu, ketika kampus masih kecil dengan kemudahan sukan yang amat terhad.

Beliau berkata ketika itu UPSI belum mempunyai stadium atau kolam renang, selain tidak memiliki barisan atlet yang mampu bersaing di peringkat universiti.

“Dalam kejohanan universiti, kami sentiasa menjadi belasahan. Melepasi saringan pun sukar, apatah lagi menjadi juara.

“Dari jauh kami melihat kehebatan universiti seperti UPM, UiTM, UM, UKM, UIAM dan UTM yang mempunyai kemudahan, atlet serta tradisi kemenangan. Kami ketika itu hanya ada mimpi,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Md Amin berkata kekurangan bagaimanapun tidak dijadikan alasan untuk mengalah, sebaliknya dilihat sebagai peluang untuk membina kekuatan dan keyakinan dalam kalangan warga universiti.

Menurut beliau, tahun 2011 menjadi titik perubahan apabila UPSI melonjak daripada kedudukan ke-12 daripada 20 universiti kepada tempat keempat keseluruhan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Rahsianya bukan wang yang banyak atau kemudahan yang hebat, tetapi jiwa dan semangat ingin menang,” katanya.

Beliau berkata pendekatan membina keyakinan turut diterapkan melalui tagline “Impossible Is Nothing”, selain penjenamaan semula identiti kontingen UPSI dengan simbol landak yang lebih gagah serta penggunaan warna oren dan hitam.

Katanya, usaha memperkukuh ekosistem sukan turut dilaksanakan melalui latihan harian, kem latihan berkala, penglibatan pensyarah Sains Sukan sebagai pengurus dan jurulatih serta pembangunan pasukan psikologi, rehabilitasi, prestasi sukan dan analisis sukan.

Md Amin berkata penganjuran Karnival Sukan Staf (KIESTA) sejak 2011 turut membantu meningkatkan keterlibatan pengurusan tertinggi universiti dalam bidang sukan, sekali gus membuka ruang kepada pengukuhan peruntukan dan kemudahan.

Beliau berkata pembangunan Pusat Sukan UPSI juga diperkasa apabila jumlah staf meningkat daripada lima kepada 25 orang, manakala UPSI Sports City kini dilengkapi pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa.

Menurut beliau, kesinambungan pembangunan sukan itu turut disokong menerusi Program Malaysia Juara yang memberi ruang kepada generasi muda untuk meneruskan legasi kecemerlangan atlet UPSI.

“Di SUKMA 2026, lebih 200 atlet dan pegawai UPSI mewakili negeri masing-masing,” katanya.

Md Amin berkata kejayaan paling membanggakan dapat dilihat pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 apabila UPSI berjaya mencipta pencapaian yang sebelum ini sinonim dengan universiti lain.

“Di SUKIPT 2026, ragbi, raja dan ratu olahraga yang selama puluhan tahun sinonim dengan UPM, Allah izinkan menjadi milik UPSI,” katanya.

Beliau berkata kejayaan itu menjadi bukti bahawa usaha yang konsisten, disertai kesatuan dan semangat juang, mampu mengubah sebuah institusi yang suatu ketika dahulu hanya berbekalkan impian kepada universiti yang mampu bersaing dalam liga sukan institusi pengajian tinggi.

“29 tahun ini penuh keringat, darah dan air mata. Ada kekalahan, ada sindiran dan ada pengorbanan yang tidak diketahui orang. Tetapi itulah yang menjadikan kemenangan hari ini terlalu manis,” katanya.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved