Sabri Yunus, Ahmad Fedtri sambung pengajian di UPSI melalui APEL.Q

29 Aug 2026 • 1:00 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Sabri Yunus, Ahmad Fedtri sambung pengajian di UPSI melalui APEL.Q
Sabri (tiga dari kanan) serta Fedtri (kiri) bergambar bersama Prof Md Amin (empat dari kanan) sambil menunjukkan surat tawaran pengajian pada program Executive Talk 6.0 Keselamatan Siber di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM – Hasrat pelakon dan pengarah terkenal Mohd Sabri Yunus untuk kembali ke bangku pengajian selepas lebih empat dekad akhirnya tercapai apabila beliau menerima surat tawaran Program Sarjana Pendidikan Kesusasteraan Melayu melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Award of Qualifications (APEL.Q) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Turut menerima surat tawaran ialah personaliti televisyen dan pengacara Ahmad Fedtri Yahya bagi mengikuti Program Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu melalui laluan sama, dengan kedua-duanya menjadi pelajar rintis bagi program yang dibangunkan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.

Sabri, 65, berkata peluang itu amat bermakna selepas dua percubaannya untuk menyambung pengajian di universiti sebelum ini tidak kesampaian, masing-masing ketika beliau berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1980-an dan awal 1990-an.

“Saya sebenarnya telah dua kali berusaha untuk menjadi pelajar di universiti semenjak saya masuk ke Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1982 sebagai pelukis, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana kekangan untuk meninggalkan pekerjaan,” katanya pada program Executive Talk 6.0 Keselamatan Siber di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Rabu lalu.

Beliau berkata meskipun gagal menyambung pengajian secara formal, proses menimba ilmu tidak pernah terhenti kerana menganggap setiap individu yang ditemuinya sebagai guru yang boleh memberikan manfaat dan pengalaman.

Sabri berkata menerusi pengajian APEL.Q, beliau mahu menjalankan kajian mengenai pantun khusus dalam Dikir Barat, termasuk menjelaskan fungsi dan makna sebenar istilah ‘Tukang Karut’ yang sering disalah fahami masyarakat.

“Saya nak teruskan pembelajaran saya dan yang nak saya bawa adalah kajian saya tentang Pantun Khusus Dalam Dikir Barat. Pantun dalam Dikir Barat berbeza dengan pantun biasa kerana ia mempunyai beberapa elemen yang tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Fedtri, 45, berkata beliau teruja menjadi warga UPSI dan memilih bidang Bahasa Melayu kerana percaya cara seseorang menggunakan bahasa mempunyai kaitan rapat dengan tahap tamadun serta keilmuan masyarakat.

“Saya tidak pernah menjangkakan untuk berada di kampus UPSI yang indah dan bersejarah ini. Kali ini bergelar sebagai siswa, saya bersama Abang Sabri Yunus telah memulakan APEL.Q dan saya fokus kepada bidang bahasa,” katanya.

Beliau berkata usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu diperkasakan khususnya dalam kalangan generasi muda yang kini berdepan perubahan gaya komunikasi akibat pengaruh media sosial dan teknologi digital.

Fedtri turut mahu memanfaatkan peluang berada di UPSI untuk menggali dan mendokumentasikan khazanah bahasa serta pantun yang masih tersimpan dalam kalangan masyarakat supaya warisan tersebut dapat dipelihara dan dipersembahkan dalam bentuk lebih ilmiah.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kehadiran Sabri dan Fedtri sebagai warga universiti memberi peluang kepada warga UPSI untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang seni, bahasa serta budaya.

Prof Md Amin berkata pengalaman tokoh berkenaan juga penting dalam membantu usaha membina semula jati diri budaya bangsa, khususnya menerusi interaksi mereka dengan kira-kira 25,000 pelajar UPSI yang bakal menjadi guru dan berperanan membentuk generasi muda.

“Pelajar-pelajar di UPSI, lebih kurang 25,000 orang, akan menjadi guru dan merekalah yang akan menjadi pempengaruh kepada anak-anak muda kelak,” katanya.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved