
MELAKA – Pantai Klebang bakal dimeriahkan dengan ketibaan tiga kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang akan berlabuh di kawasan itu buat pertama kali, sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, hujung bulan ini.
Tiga kapal berkenaan ialah Kapal Diraja (KD) Terengganu, KD Gempita dan KD Laksamana Muhammad Amin yang akan dipertontonkan kepada orang ramai bersama pelbagai aset serta demonstrasi ketenteraan.
Kehadiran kapal perang itu menjadi antara 19 aktiviti utama Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) atau Kerjasama Awam-Tentera yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat mendekati pasukan keselamatan serta melihat sendiri aset, kepakaran dan keupayaan Angkatan Tentera (ATM).
“Program ini bukan sekadar sambutan Hari Kebangsaan, tetapi turut menjadi platform untuk mendekatkan tentera dengan rakyat selain memberi pendedahan mengenai peranan serta keupayaan mereka dalam mempertahankan negara.
“Buat pertama kali, tiga kapal perang TLDM akan berlabuh di Klebang dan orang ramai berpeluang melihat aset pertahanan secara lebih dekat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Hee Sem berkata, pengunjung turut berpeluang melihat pameran statik meriam artileri serta kenderaan tempur dan taktikal, selain pertunjukan Army Red Warrior, Guns In Action, demonstrasi tanpa senjata, unit anjing perang (K9), kawad senyap serta aksi Commando Storm. – KOSMO! ONLINE
The post 3 kapal perang TLDM ‘serbu’ Klebang sempena Hari Kebangsaan appeared first on Kosmo Digital.






