3 lagi Ketua Bahagian Bersatu mungkin dipecat

LocalPolitics
31 Oct 2025 • 12:55 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Tiga lagi Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipanggil menghadap Lembaga Disiplin, semalam.

Antara yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Pendang merangkap Ahli Dewan Undangan Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Datuk Mohd Suhaimi Ghazali (Sepang) dan Mohd Shukor Mustafa (Puchong).

Difahamkan, mereka dipanggil Lembaga Disiplin di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya pada sesi berbeza.

Mohd Shukor yang dilapor bercakap dengan akhbar BH mengesahkan dirinya termasuk dua lagi Ketua Bahagian Bersatu dipanggil Lembaga Disiplin.

Mereka dipercayai antara kira-kira 120 ketua bahagian Bersatu yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menggesa Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mengulas lanjut, Mohd Shukor berkata, beliau dipanggil Lembaga Disiplin pada jam 1 tengah hari semalam.

Katanya kehadirannya itu adalah satu kelaziman amalan sebelum suatu tindakan diambil sekali gus tidak menolak kemungkinan bakal dipecat.

"Selalunya kalau dipanggil menghadap Lembaga Disiplin macam tunggu kena tindakan pecatlah," katanya.

September lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal.

Hukuman terhadap mereka berdua dikatakan berhubung isu SD yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

Kedudukan Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal sebagai Ahli Parlimen bagaimanapun tidak terjejas memandangkan pemecatan keahlian dalam mana-mana parti tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya undang-undang bertukar parti.

Lembaga Disiplin turut memaklumkan tindakan pemecatan keahlian ke atas empat lagi ketua bahagian parti.

Mereka ialah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang. - 31 Oktober, 2025

The post 3 lagi Ketua Bahagian Bersatu mungkin dipecat appeared first on Scoop.