
KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 71 kontena membawa kargo menuju ke Israel sedang dalam perjalanan ke sebuah pelabuhan, dengan sebahagian besar daripadanya sudah berlabuh.
Pengerusi BDS Malaysia, Prof. Dr. Nazari Ismail berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada kerajaan berdasarkan dokumentasi yang disediakan menerusi inisiatif No Harbour for Genocide.
Menurutnya, perkembangan tersebut berlaku selepas pihak berkuasa Malaysia pada 7 Ogos lalu menyekat kargo yang ditujukan kepada Elbit Systems, pengeluar senjata terbesar Israel.
“Penghantaran seumpama ini berkemungkinan berulang dan menunjukkan kewujudan rantaian bekalan barangan ke Israel secara rutin dan tersusun.
“Keadaan ini menjejaskan dasar solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin serta menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab pihak ketiga untuk mengambil semua langkah yang diperlukan bagi mencegah genosid di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya, hari ini.
Nazari berkata, penemuan 71 kontena itu menunjukkan kewujudan rantaian bekalan yang tersusun dan berpotensi menyebabkan Malaysia terdedah kepada dakwaan keterlibatan dalam genosid.
Katanya, tindakan pihak berkuasa Malaysia menyekat kargo yang ditujukan kepada Elbit Systems sebelum ini membuktikan langkah penguatkuasaan boleh dilaksanakan.
“Kerajaan perlu bergerak melangkaui tindakan sekatan secara ad hoc dengan melaksanakan langkah menyeluruh termasuk larangan terhadap semua kapal dan kargo yang menuju ke Israel,” katanya.
Sehubungan itu, BDS Malaysia menggesa kerajaan melaksanakan sekatan menyeluruh terhadap semua kontena menuju ke Israel yang kini berada di pelabuhan Malaysia, termasuk menyita kontena berkenaan.
Kumpulan itu turut menggesa mekanisme usaha wajar (due diligence) dilaksanakan segera bagi memastikan pelabuhan Malaysia tidak menyediakan perkhidmatan, kebenaran berlabuh atau laluan melalui perairan wilayah kepada kapal yang membawa kargo ke Israel sekiranya penghantaran tersebut melanggar dasar Malaysia dan undang-undang antarabangsa.
Selain itu, BDS Malaysia mahu tindakan dan penalti dikenakan terhadap kapal yang melanggar undang-undang serta peraturan Malaysia berkaitan penghantaran dan pemindahan kargo ke Israel.
Dalam pada itu, kumpulan berkenaan menggesa Malaysia memainkan peranan kepimpinan dalam Hague Group yang dibentuk melibatkan negara-negara dari seluruh dunia bagi mengambil langkah perundangan dan diplomatik secara bersama terhadap Israel berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Langkah itu termasuk kawalan terhadap pemindahan maritim bagi memastikan tindakan antarabangsa diambil untuk menghalang pemindahan barangan melalui laut yang didakwa membekalkan Israel. – KOSMO! ONLINE
The post Sekat kontena ke Israel, 71 dikesan berlabuh di Malaysia – BDS appeared first on Kosmo Digital.






