HULU SELANGOR - Seorang kontraktor maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta berhampiran stesen minyak di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Antara Gapi di sini Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan maut itu kira-kira jam 9.25 pagi.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi melibatkan seorang penunggang motosikal lelaki berusia 45 tahun dan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 65 tahun," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ibrahim berkata, penunggang motosikal yang bekerja sebagai kontraktor itu dalam perjalanan ke tempat kerja di Antara Gapi.
“Semasa melalui Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran stesen minyak Antara Gapi, sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu e-hailing telah membelok ke kanan untuk masuk ke stesen minyak tersebut,” katanya.
Beliau berkata, tindakan pemandu e-hailing itu menyebabkan penunggang motosikal melanggar pintu penumpang hadapan sebelah kiri kereta berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke tengah jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” ujarnya.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu bagi tujuan bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.






