3 pasangan kembar jadi tumpuan pada hari pendaftaran pelajar baharu di PUO

1 Aug 2025 • 12:05 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Tiga pasangan kembar seiras ini datang dari dua negeri berbeza dan mereka antara 1,727 pelajar yang mendaftar bagi Sesi 1 2025/2026 di PUO.

Kehadiran tiga pasangan kembar mencuri tumpuan ketika hari pendaftaran pelajar baharu di Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, Perak sekali gus menceriakan suasana hujung minggu lalu.

Kembar seiras dari dua negeri berbeza ini antara 1,727 pelajar yang mendaftar bagi Sesi 1 2025/2026 di institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan.

Pasangan Nurul Syafriena Nasaruddin dan Nurul Syafrieza Nasaruddin dari Rawang, Selangor mendaftar dalam program Diploma Pengajian Perniagaan.

Sharran Raj Devaraju dan Sharanie Devaraju (juga dari Rawang) memilih program Diploma Perakaunan sebagai bidang pengajian.

image is not available

Manakala pasangan kembar dari Kota Setar, Kedah, Saw Xin Ying dan Saw Xin Yi memilih Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer), menggambarkan minat mendalam mereka terhadap bidang teknologi.

Menurut Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PUO, Mohd Fakrul Razi Jamaluddin, ketiga-tiga pasangan kembar berusia 18 tahun itu telah membuat pendaftaran rasmi pada 26 dan 27 Julai lalu.

"Kehadiran pasangan kembar ini bukan sahaja menyerikan suasana pendaftaran, malah menjadi simbol kepercayaan terhadap PUO sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pilihan,” katanya.

image is not available

Beliau berkata, kejayaan PUO mencatatkan 100 peratus pendaftaran pelajar baharu bagi sesi ini dan ia merupakan pencapaian yang amat membanggakan.

"914 pelajar telah mendaftar pada 26 Julai dan 813 pelajar lagi pada hari berikutnya. Ini menepati sasaran penuh norma ambilan yang ditetapkan oleh institusi,” ujarnya.

image is not available