
KUALA LUMPUR - Satu siasatan menyeluruh dan lengkap perlu dilakukan susulan kemalangan di pelantar luar pesisir yang meragut tiga nyawa di perairan Terengganu, semalam.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memandang serius tragedi tersebut yang seharusnya tidak berlaku.
Menurut beliau, aspek keselamatan di tempat kerja perlu terus diperkukuh bagi melindungi pekerja di seluruh negara.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya menerusi ciapan di X.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar seorang mangsa yang terselamat segera diberi kesembuhan.
“Takziah saya ucapkan kepada semua ahli keluarga mangsa dan saya berdoa agar mereka dikurniakan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat sukar ini.
“Semoga mangsa yang sedang menerima rawatan dikurniakan kesembuhan segera,” katanya.
Sementara itu, polis telah melancarkan siasatan menyeluruh berhubung insiden tersebut, yang berlaku di fasiliti Sepat Floating Storage and Offloading (FSO), di luar pesisir Kuala Terengganu.
Ketua Polis Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari ketika kesemua pekerja terbabit sedang menaiki bot penyelamat yang digantung untuk turun ke laut, bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di bawah struktur pelantar luar pesisir berkenaan.
Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang menahan bot tersebut telah terputus, menyebabkan bot berkenaan bersama empat pekerja di atasnya terjatuh ke dalam laut.
Susulan kemalangan, tiga pekerja disahkan maut, iaitu Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang; dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.
Seorang lagi pekerja, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor, mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Azli berkata, pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah telah dihantar ke lokasi yang terletak kira-kira 150 meter dari perairan Kuala Terengganu bagi mengenal pasti punca sebenar.
Pihak berkuasa kini sedang meneliti sama ada insiden terbabit berpunca daripada kecuaian, kegagalan peralatan atau elemen jenayah lain yang mungkin menyumbang kepada kemalangan maut berkenaan.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah, kes akan diklasifikasikan semula dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian tersebut, khususnya di media sosial. - Getaran 25 Mei 2026






