liza25/05/2026 - 08:19 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Mei – PETRONAS akan menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden maut ketika kerja penyelenggaraan bot penyelamat di FSO Sepat yang terletak di medan Sepat, luar pantai Terengganu, kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam.
Insiden itu mengorbankan tiga kakitangan kontraktor.
Menurut syarikat petroleum nasional itu, seramai empat kakitangan kontraktor terlibat dalam kejadian berkenaan ketika kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan di fasiliti penyimpanan dan pemindahan minyak terapung tersebut.
“Dukacita dimaklumkan, tiga mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah kira-kira pukul 5.57 petang semalam,” menurut PETRONAS dalam satu kenyataan.

Tiga mangsa yang maut ialah Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28; Ahmad Fikri Zakaria, 38 dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Taufik Mohd Ruslan, 37 daridilaporkan mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
PETRONAS berkata, siasatan berhubung punca kejadian sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan insiden tersebut berlaku.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan dan warga kerja mangsa yang terlibat serta menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan kebajikan semua pihak yang terkesan terus diberi perhatian dan sokongan.- DagangNews.com






