Seremban Engineering raih kontrak RM18.2 juta bagi rantaian bekalan projek pusat data dan AI

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 5:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Seremban Engineering raih kontrak RM18.2 juta bagi rantaian bekalan projek pusat data dan AI Image from: Seremban Engineering raih kontrak RM18.2 juta bagi rantaian bekalan projek pusat data dan AI sarah06/11/2026 - 17:30 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov - Seremban Engineering Berhad (SEB) memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM18.2 juta bagi menyediakan perkhidmatan rantaian bekalan rentas sempadan dari China ke Malaysia, sekali gus membuka peluang perniagaan baharu dalam sektor infrastruktur pusat data dan kecerdasan buatan (AI).

 

Kontrak bernilai RMB30 juta (RM18.21 juta) itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, MIE Material Resources Sdn Bhd (MMR), yang dilantik oleh EPG Engineering System Sdn Bhd (EPGES) sebagai penyedia perkhidmatan rantaian bekalan rentas sempadan.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, EPGES merupakan anak syarikat milik penuh pelanggan baharu MMR yang berpangkalan di Singapura dan terlibat dalam industri perundingan kejuruteraan serta teknikal bagi infrastruktur pusat data dan AI.

 

Perjanjian berkenaan berkuat kuasa selama 12 bulan bermula 6 November 2026 hingga 5 November 2027, dengan nilai RM18.2 juta itu merupakan jumlah sementara yang tertakluk kepada pesanan pembelian dan keperluan projek sepanjang tempoh kontrak.

 

Di bawah kontrak tersebut, MMR bertanggungjawab membekalkan bahan, peralatan dan barangan lain dari China bagi menyokong projek serta operasi EPGES di Malaysia, termasuk menguruskan pengangkutan rentas sempadan, pelepasan kastam eksport dan import serta penghantaran ke lokasi projek.

 

Semua pembekalan dan perkhidmatan akan dilaksanakan berdasarkan spesifikasi serta jadual yang ditetapkan menerusi pesanan pembelian EPGES, manakala hasil kontrak akan diiktiraf secara berperingkat apabila bahan dan peralatan dihantar ke lokasi yang ditetapkan di Malaysia.

 

SEB menjangkakan kontrak itu menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya, dengan pembiayaan dijangka menggunakan dana dalaman dan atau pinjaman luar.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu turut mengenal pasti beberapa risiko pelaksanaan termasuk perubahan harga bahan mentah, kos logistik dan tenaga kerja serta keperluan kawal selia, namun tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain cabaran operasi lazim bagi kontrak seumpama itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved