
PETALING JAYA – Sebanyak 87 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM4.3 juta yang dirampas pihak berkuasa Thailand susulan penahanan tiga rakyat Malaysia di Hat Yai, baru-baru ini, dipercayai mahu diseludup masuk ke negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesahkan menerima makluman daripada Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand berhubung tangkapan tiga lelaki terbabit di Hat Yai pada Jumaat lalu.
“Tangkapan dibuat di atas kereta api ekspres Bangkok-Narathiwat, Sungai Golok sewaktu pemeriksaan keselamatan ke atas penumpang dan barangan dalam tren,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati seorang suspek berusia 35 tahun dari Sarawak mempunyai sembilan rekod di Malaysia membabitkan kes dadah dan jenayah.
“Seorang lagi lelaki berusia 36 tahun mempunyai satu rekod dadah, manakala lelaki berusia 32 tahun mempunyai dua rekod dadah,” katanya.
Menurut Hussein, JSJN akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang disyaki terlibat dalam cubaan membawa masuk bekalan dadah berkenaan ke Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan tiga rakyat Malaysia yang menaiki kereta api dari Bangkok ke Hat Yai ditahan polis Thailand selepas 87kg syabu bernilai kira-kira RM4.3 juta ditemui disembunyikan di dalam bagasi mereka.
Jurucakap polis Thailand berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di Stesen Hat Yai dalam operasi bersama melibatkan unit pencegahan narkotik Polis Hat Yai, pasukan polis kereta api, polis pelancong dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9. – KOSMO! ONLINE
The post 3 rakyat Malaysia kecundang di Thailand cuba seludup syabu 87kg appeared first on Kosmo Digital.






