
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan tiga sindiket pengedaran vape mengandungi dadah sintetik di sekitar Lembah Klang dan Selangor dengan rampasan bernilai lebih RM45.6 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, 14 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing diberkas dalam Op Kesing, Op Madarini dan Op Eristalis yang dijalankan dari 23 hingga 25 Julai lalu.
Katanya, kejayaan itu susulan risikan yang dipertingkatkan selepas insiden tujuh pelajar sekolah menengah di Sentul ditemui khayal kerana dipercayai menghisap vape mengandungi cecair dadah pada 22 Julai.
“Dua daripada mereka dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
“Fenomena ini memerlukan tindakan tegas bagi mengekang penularan vape mengandungi dadah dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini hari ini.
Hussein berkata, sindiket menggunakan pelbagai taktik termasuk mengimport dadah dan peralatan vape dari luar negara dengan membuat pengisytiharan palsu berupa aksesori serta jus buah.
Katanya, dalam Op Kesing, polis menahan sembilan suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan, lima wanita warga asing dan seorang lelaki warga asing yang dipercayai dalang sindiket.
Hussein berkata, dalam Op Madarini pula, polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing yang dipercayai menggunakan rumah di sekitar Lembah Klang sebagai stor penyimpanan serta lokasi pembungkusan vape dadah sebelum dihantar ke pasaran luar negara.
“Polis turut merampas 1,340 kartrij vape mengandungi cecair MDMA dengan nilai dianggarkan RM402,000,” katanya.
Tambahnya, menerusi Op Eristalis, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing yang dipercayai cuba menyeludup bekalan dadah ke negara jiran menggunakan laluan laut.
Katanya, sindiket itu menjadikan sebuah kilang memproses ikan sebagai lokasi penyimpanan sebelum bekalan dihantar menggunakan bot.-UTUSAN
The post Tiga sindiket vape dadah tumpas, rampasan lebih RM45.6 juta appeared first on Utusan Malaysia.






