Mangsa culik RM7 juta dipercayai terlibat sindiket edar dadah tempatan

29 Jul 2026 • 5:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mangsa culik RM7 juta dipercayai terlibat sindiket edar dadah tempatan

KUALA LUMPUR – Lelaki yang menjadi mangsa kes penculikan dengan tuntutan wang tebusan RM7 juta dipercayai terlibat secara langsung dalam sindiket pengedaran dadah tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.

“Mana-mana yang telah ditangkap oleh polis sekarang, kita sedang siasat lagi rangkaian ahli-ahli lain yang terlibat.

“Mangsa itu dipercayai terlibat secara langsung dalam sindiket pengedaran dadah tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini.

Terdahulu, media melaporkan mangsa berusia 44 tahun itu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (LLPK) selepas siasatan mendapati wujud elemen pengedaran dadah dalam kes penculikan berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar sebelum ini berkata, mangsa ditahan oleh JSJN Bukit Aman selepas hasil siasatan bersama mengenal pasti penglibatannya dalam sindiket pengedaran dadah.

Beliau turut memaklumkan polis menahan dua lagi lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai terbabit dalam kes penculikan itu, termasuk seorang bekas anggota polis yang dipecat pada 2023 kerana terbabit dalam kes dadah.

Kes penculikan berkenaan sebelum ini berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 48 jam selepas polis menahan enam suspek terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 46 tahun. – KOSMO! ONLINE

The post Mangsa culik RM7 juta dipercayai terlibat sindiket edar dadah tempatan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved