3 Ulat Foto Di KLCC Dikesan Guna MyKad Palsu, Tiada Rekod Dalam JPN

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 10:43 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kes mengenai munculnya aktiviti ulat foto atau jurugambar jalanan di Menara Berkembar Petronas (KLCC) bukan satu perkara yang baharu.

Aktiviti dilakukan oleh golongan ini sudah tentunya tidak mempunyai lesen yang sah selain mengganggu ketenteraman orang ramai yang berada di kawasan tersebut.

Bahkan sebelum ini ada beberapa jurugambar yang telah pun dikenakan kompaun atas kegiatan haram itu.

Namun kontorversi membabitkan kegiatan mereka meletus baru-baru ini apabila sekumpulan jurugambar jalanan ini ditahan selepas terbabit dalam satu pergaduhan di hadapan KLCC.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: “Serabut Kawasan Ni” – Geng ‘Ulat Gambar’ Di KLCC Kembali Undang Perhatian [Video]

3 jurufoto jalanan di KLCC ada MyKad palsu

Terbaharu, seramai tiga daripada kumpulan ulat foto’ telah ditahan berkenaan disyaki memiliki MyKad palsu.

Jelas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Sazalee Adam ia terbongkar ekoran semakan yang dibuat menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Siasatan mendapati tiga individu ini tidak mempunyai dokumen, namun mempunyai MyKad dan telah dibawa ke JPN untuk pengesahan cap jari.

“Hasil semakan, identiti ketiga-tiga suspek tidak terkesan dalam sistem JPN di mana MyKad yang digunakan dipercayai palsu,” ujarnya, lapor Kosmo.

3 individu di hantar ke Penjara Sungai Buloh

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan mereka telah dituduh di mahkamah pada 31 Mac.

Ketiga-tiga individu berkenaan walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mereka kemudian dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

18 lelaki ditahan terbabit insiden rusuhan

Terdahulu polis telah bertindak menahan 18 individu lelaki yang disyaki terbabit dalam insiden rusuhan serta serangan ke atas dua lelaki sehingga mengalami kecederaan di Persiaran KLCC pada 22 Mac yang lalu.

Insiden terbabit berlaku sekitar jam 9 malam berkenaan dipercayai berlaku kerana sekumpulan lelaki yang juga jurugambar jalanan bertindak memukul seorang pelancong yang merupakan warga India di kawasan hadapan KLCC.

25 ulat foto ditahan

Dalam pada itu, seramai 25 lagi ulat foto termasuklah seorang wanita serta warga Filipina ditahan pada 31 Mac untuk membantu siasatan lanjut.

Memetik laporan Berita RTM, kesemua yang ditahan itu berusia 16 hingga 48 tahun.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 23 lelaki dan seorang wanita berasal dari Sabah dan seorang warga Filipina.”