Polis kini sedang mencari seorang lelaki yang dipercayai menampar seorang remaja dalam satu kejadian di sebuah premis roti di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Menurut laporan Malaysia Gazette, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 susulan penyebaran kes berkenaan secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, mangsa Farhan Nasir Muhammad Isa, 12, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 1.35 tengah hari, dia melihat keadaan di premis tersebut lengang tanpa pelanggan yang sedang beratur sebelum menuju ke kaunter untuk membeli roti.
Bagaimanapun, menurutnya, seorang lelaki yang tidak dikenali kemudian datang dan dilihat memerhati makanan yang dijual sebelum secara tiba-tiba bertindak menamparnya di bahagian muka.
“Saya ada bertanya kepada dia mengapa menampar sebelum lelaki itu mendakwa saya memotong barisan sedangkan ketika itu tiada orang beratur di kaunter,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Susulan kejadian itu, Farhan memaklumkan bahawa dia telah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Sementara itu, bapanya Muhammad Isa berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai insiden terbabit selepas pulang ke rumah sebaik selesai bekerja.
Sumber: Malaysia Gazette, Harian Metro (Muhaamad Hafis Nawawi)
The post Polis Cari Lelaki Tampar Remaja Didakwa Potong Barisan Di Kedai Roti appeared first on Borak Daily.



