3 Warga Thailand Ditahan KPDN Kerana Seludup Minyak Petrol Dari Kelantan

LocalPolitics
27 Mar 2026 • 12:48 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui tindakan mencuri atau menyeludup minyak merupakan perkara yang dilarang.

Bahkan individu yang cuba menyeludup bahan api berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Namun dalam keadaan negara sedang berusaha untuk memastikan bekalan petrol mencukupi untuk kegunaan rakyat, ada yang cuba mengambil kesempatan dengan menyeludupnya untuk dibawa ke luar negara.

3 warga Thailand ditahan KPDN cuba seludup petrol ke Thailand

Terbaharu dua lelaki dan seorang wanita warganegara Thailand telah ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dipercayai kerana cuba menyeludup minyak Petrol pada 25 Mac lalu.

Jelas KPDN Kelantan dalam hantaran di Facebook, ketiga suspek itu ditahan dalam Ops Tiris yang dilakukan di Kompleks ICQS Rantau Panjang.

Operasi yang dilakukan jam 7.30 pagi, pada 25 Mac lalu oleh KPDN cawangan Pasir Mas itu telah berjaya mengesan cubaan menyeludup barang kawalan membabitkan petrol yang dipercayai untuk dijual di Thailand.

“Hasil sekatan, tiga kenderaan jenis Proton Waja dipandu warga Thailand berusia 35 hingga 56 tahun ditahan selepas disyaki menyalahgunakan petrol bersubsidi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga kenderaan diisi penuh petrol pada tangki asal. Bagaimanapun, suspek juga gagal mengemukakan sebarang resit pembelian, lokasi pengambilan serta alasan munasabah bagi pengisian bahan api tersebut,” katanya.

Minyak Petrol diseludup dipercayai untuk jual di Thailand

Menurut KPDN Kelantan lagi, siasatan awal yang dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek mengaku petrol terbabit dipercayai untuk dijual di Thailand.

“Dalam kes pertama, seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan bersama sebuah Proton Waja dan 50 liter petrol dengan nilai rampasan keseluruhan RM5,193.50.

“Sementara itu, seorang lelaki berusia 56 tahun ditahan dengan rampasan 60 liter petrol serta kenderaan bernilai keseluruhan RM5,232.20.

“Kes ketiga melibatkan seorang wanita berusia 35 tahun dengan rampasan 50 liter petrol dan kenderaan, menjadikan jumlah nilai keseluruhan rampasan RM5,193.50.”

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 8(4)(a) akta sama kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat untuk menyeleweng.