PASIR MAS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Thailand apabila cubaan mereka untuk menyeludup petrol bersubsidi gagal selepas ditahan menerusi Ops Tiris yang dijalankan di Kompleks ICQS Rantau Panjang, di sini pada Khamis.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, kesemua individu itu ditahan pada jam 7.30 pagi selepas pihaknya mengesan tiga buah kenderaan menggunakan nombor plat tempatan yang dipandu oleh warga Thailand.
"Hasil sekatan mendapati tiga kenderaan jenis Proton Waja itu dipandu warga Thailand berusia antara 35 hingga 56 tahun.
"Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga kenderaan diisi penuh petrol pada tangki asal. Bagaimanapun, suspek gagal mengemukakan sebarang resit pembelian, lokasi pengambilan serta alasan munasabah bagi pengisian bahan api tersebut," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku petrol tersebut dipercayai untuk dijual di Thailand.
Ujarnya, bagi kes pertama, seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan bersama sebuah Proton Waja dan 50 liter petrol dengan nilai rampasan keseluruhan RM5,193.50.
Sementara itu beliau memberitahu, seorang lagi lelaki berusia 56 tahun ditahan dengan rampasan 60 liter petrol serta kenderaan bernilai keseluruhan RM5,232.20.
"Malah, kes ketiga melibatkan seorang wanita berusia 35 tahun dengan rampasan 50 liter petrol dan kenderaan, menjadikan jumlah nilai keseluruhan rampasan RM5,193.50.
"Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 8(4)(a) akta sama kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat untuk menyeleweng," katanya.

