
CONAKRY – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh selepas timbunan sampah gergasi di sebuah tapak pelupusan utama runtuh dan menimbus kawasan perumahan berhampiran ibu negara Guinea, Conakry, lapor stesen berita BBC.
Pihak berkuasa berkata, insiden di kawasan Dar es Salam, sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) itu berlaku semasa hujan lebat berterusan pada sebelah malam.
Bencana itu turut menyebabkan 22 penduduk cedera, dengan enam kritikal.
Aset dan anggota-anggota keselamatan termasuk tentera dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu operasi menyelamat.
Media tempatan melaporkan seorang wanita sebagai berkata, lima anaknya meninggal dunia dalam bencana tersebut.
Terdapat kebimbangan bahawa jumlah kematian akan terus meningkat.
Pasukan penyelamat menggunakan jengkaut untuk mengalihkan timbunan sampah yang menimbus lokasi kejadian ketika penduduk berkumpul di kawasan berhampiran.
Terdahulu, ketua kejiranan tersebut, Lancine Sylla memberitahu agensi berita AFP bahawa dia bimbang jumlah kematian adalah tinggi.
“Kami telah mengeluarkan 18 mayat yang kemudiannya dibawa ke rumah mayat,” katanya. – AGENSI
The post 30 mati ditimbus sampah runtuh appeared first on Kosmo Digital.




