
SHAH ALAM, 20 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kira-kira 30 usahawan asnaf menyertai kumpulan pertama program Kolaborasi Asnaf Berdaya Saing (KOLAB) dengan peruntukan dianggarkan RM35,000 bagi setiap peserta.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Khaidzir Shahari berkata program selama enam bulan hingga setahun itu membabitkan tiga sektor perniagaan terpilih bagi membantu peserta bersedia memasuki pasaran.
“Apa yang kita harapkan adalah apabila mereka mengikuti program ini, mereka akan mendapat nilai tambahan kerana program ini bertujuan memastikan mereka bersedia memasuki pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Transformasi Usahawan Asnaf Selangor (TUAS) 2026 dan Pelancaran KOLAB di sini, semalam.
Sementara itu, beliau memaklumkan pencapaian peningkatan pendapatan usahawan asnaf menunjukkan perkembangan positif apabila angka yang direkodkan mencecah 70 peratus pada tahun ini berbanding 64 peratus pada 2025.
Katanya, pencapaian itu hasil pelaksanaan program pembangunan keusahawanan dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), yang menyediakan latihan, bantuan modal, jaringan perniagaan serta pemantauan berterusan.
Beliau menjelaskan peserta dipilih berdasarkan pengalaman, kemahiran dan potensi dalam perniagaan bagi memastikan bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara berkesan.
Bagaimanapun katanya, peningkatan pendapatan tidak bermakna seseorang asnaf akan terus dikeluarkan daripada program bantuan kerana LZS perlu memastikan mereka benar-benar mampu berdikari.
“Kita akan pantau mereka supaya apabila keluar, mereka lebih mampan dan kita tidak mahu mereka kembali menjadi asnaf.
"Hasratnya adalah untuk memastikan golongan asnaf ini keluar dan menjadi pembayar zakat, itu yang kita hasratkan,” katanya.
Tambah Mohd Khaidzir, pemantauan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan pendapatan peserta kekal stabil dan bukan bersifat sementara.
Katanya, peserta juga akan dimaklumkan lebih awal serta diberi tempoh persediaan sebelum bantuan ditamatkan bagi mengelakkan mereka kembali berdepan kesulitan kewangan.
Langkah itu turut membolehkan bantuan berkenaan disalurkan kepada asnaf lain yang masih memerlukan sokongan untuk meningkatkan taraf hidup.



