
PETALING JAYA: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menyalurkan kira-kira RM700,000 menerusi Zakat Wakalah dan dana inisiatif tanggungjawab korporat Islam bagi memperkasa hampir 2,000 pelajar Tingkatan Lima daripada keluarga asnaf dan kurang berkemampuan menerusi Program Pusat Tuisyen MADANI.
Dana itu digunakan bagi pelaksanaan program termasuk penyediaan bahan pengajaran, makanan serta penambahbaikan kemudahan pembelajaran.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu (YPPM) itu melibatkan pelajar dari 50 sekolah di Semenanjung Malaysia bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ia memberi tumpuan kepada tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pihaknya percaya setiap individu perlu diberikan peluang untuk merealisasikan potensi masing-masing tanpa mengira latar belakang dan keadaan.
“Selari dengan matlamat CIMB dalam memperkasakan pelanggan dan masyarakat menerusi Advancing Customers and Society, kami menyokong Program GEAR-uP yang diterajui kerajaan bagi meningkatkan akses komuniti kurang mendapat perkhidmatan kepada pendidikan berkualiti.
“Menerusi sumbangan kepada Program Pusat Tuisyen MADANI, kami komited membantu pelajar dalam kalangan asnaf dan komuniti kurang berkemampuan mengukuhkan asas akademik, menghadapi peperiksaan SPM dengan lebih yakin serta meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Bermula Mac hingga Oktober lalu, program berkenaan menyediakan kelas tuisyen dua kali sebulan selama lapan bulan yang dikendalikan oleh 150 tenaga pengajar.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen CIMB Group terhadap pembangunan pendidikan menerusi GEAR-uP di bawah inisiatif GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN).
Setakat ini, CIMB Group telah menyumbang lebih RM2.16 juta bagi pelaksanaan inisiatif berteraskan pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih 4,000 pelajar di seluruh negara.
Beliau berkata, inisiatif itu juga bertujuan mewujudkan peluang yang lebih inklusif supaya individu dan komuniti dapat meningkatkan taraf hidup serta membina masa depan lebih baik.
Sementara itu, Pengerusi YPPM merangkap Presiden Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM), Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim berkata, ramai pelajar daripada keluarga B40 dan asnaf mempunyai potensi untuk berjaya, namun berdepan akses terhad kepada sokongan akademik yang mencukupi.
“Kerjasama antara YPPM, PAYAAM dan CIMB Islamic menerusi program itu membantu merapatkan jurang berkenaan melalui intervensi bersasar serta sokongan pembelajaran berstruktur.
“Kerjasama ini menunjukkan bagaimana kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat boleh mewujudkan peluang pendidikan yang lebih saksama serta membantu pelajar membina keyakinan, meningkatkan prestasi dan merealisasikan potensi mereka.
“Keputusan memberangsangkan menerusi program ini membuktikan sokongan yang bersasar dan tepat pada masanya mampu meningkatkan keyakinan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Program itu mencatat peningkatan dalam keputusan percubaan SPM dengan kadar kelulusan dan bilangan pelajar memperoleh Gred A bagi Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik meningkat, manakala pencapaian gred rendah berkurangan.
Majlis penutup Program Pusat Tuisyen MADANI disempurnakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalil. – UTUSAN
The post CIMB Islamic salur RM700,000 perkasa 2,000 pelajar asnaf appeared first on Utusan Malaysia.






