Takaful IKHLAS, LZNK salur RM73,800 lindungi usahawan mikro asnaf

LocalBusiness & Finance
3 Nov 2026 • 8:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Takaful IKHLAS, LZNK salur RM73,800 lindungi usahawan mikro asnaf

ALOR SETAR: Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS) bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyalurkan sumbangan perlindungan takaful berjumlah RM73,800 kepada 615 usahawan mikro asnaf menerusi Program Perlindungan i-TEKAD.

Program berkenaan dilancarkan hari ini menerusi kerjasama strategik Takaful IKHLAS, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad dan LZNK bagi memperluas akses perlindungan takaful kepada usahawan mikro asnaf yang mengikuti program pembangunan keusahawanan di bawah seliaan LZNK.

Takaful IKHLAS dalam kenyataan berkata, kerjasama strategik bersama LZNK membuktikan bagaimana institusi kewangan Islam dan agensi zakat dapat berganding bahu untuk menghasilkan impak sosial yang positif dan berkekalan kepada golongan yang memerlukan.

“Di Takaful IKHLAS, kami percaya bahawa perlindungan kewangan yang menyeluruh perlu dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan usahawan mikro dan asnaf yang sedang berusaha membina kehidupan yang lebih baik.

“Melalui program ini, Takaful IKHLAS bukan sahaja menyediakan perlindungan takaful, malah turut menyokong agenda memperkukuh ketahanan kewangan serta pembangunan ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Family Berhad, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dr. Mohd Faisal Mustaffa melancarkan program terbabit dengan kehadiran 100 usahawan mikro asnaf.

Menurutnya, menerusi pelan perlindungan i-TEKAD, peserta menerima manfaat Kematian atau Hilang Upaya Menyeluruh dan Kekal (HUMK) sebanyak RM10,000 sekiranya berlaku akibat semula jadi atau biasa, serta tambahan RM10,000 sekiranya kejadian berpunca daripada kemalangan.

Ujarnya, peserta turut menikmati manfaat hospital sebanyak RM50 sehari sehingga maksimum 21 hari, selain berpeluang mengikuti program pendidikan dan kesedaran literasi kewangan bagi meningkatkan kefahaman mengenai pengurusan kewangan serta perancangan perlindungan kewangan untuk masa hadapan.

“Sumbangan perlindungan RM73,800 itu disalurkan menerusi hasil kerjasama pelbagai pihak, membabitkan dana daripada peserta Takaful IKHLAS melalui platform pengumpulan dan pengagihan dana patuh Syariah, IKHLAS Barakah House (IBH), sumbangan LZNK serta geran kerajaan menerusi dana Bank Negara Malaysia (BNM).

“Program i-TEKAD merupakan inisiatif kewangan sosial BNM yang membantu usahawan mikro berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup melalui latihan, pembiayaan dan perlindungan kewangan,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan program i-TEKAD oleh Takaful IKHLAS diselaraskan menerusi IBH dengan fokus memperluas impak sosial melalui lima teras utama iaitu pembangunan ekonomi, kesejahteraan kesihatan, pemerkasaan komuniti, peningkatan pendidikan dan kelestarian alam sekitar.

“Dana IBH diperoleh menerusi zakat perniagaan, lebihan agihan kewangan serta sumbangan daripada peserta pelan perlindungan Takaful IKHLAS,” katanya.- UTUSAN

The post Takaful IKHLAS, LZNK salur RM73,800 lindungi usahawan mikro asnaf appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved