300 individu ditahan termasuk 12 pemimpin ajaran sesat di Likas

1 Jun 2026 • 11:25 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: 300 individu ditahan termasuk 12 pemimpin ajaran sesat di Likas

KOTA KINABALU — Seramai 300 individu termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama kumpulan ajaran sesat ditahan dalam operasi besar-besaran oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Likas, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata operasi itu digerakkan susulan aduan awam berhubung penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah ke-32 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei.

Hasil semakan mendapati program tersebut dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan pada 2007.

“Program itu turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) dan ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah. Turut dirampas 24 helai banting memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi kumpulan itu serta kira-kira 200 buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995. Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untuk dokumentasi dan siasatan lanjut oleh JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Syed Lot turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mendapatkan panduan agama daripada sumber sahih dan diiktiraf serta merujuk pihak berkuasa agama sekiranya timbul keraguan terhadap ajaran atau fahaman yang disebarkan.

"Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan," katanya .

Beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam. - 1 Jun, 2026

The post 300 individu ditahan termasuk 12 pemimpin ajaran sesat di Likas appeared first on Scoop.