Ajaran Ahmadiyah Qadiani difatwakan sesat sejak 20 tahun lalu

LocalPolitics
1 Jun 2026 • 6:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ajaran Ahmadiyah Qadiani difatwakan sesat sejak 20 tahun lalu
Antara individu yang ditahan selepas dipercayai sebagai pengikut kumpulan ajaran sesat Jemaah Ahmadiyah Qadiani ditahan dalam satu operasi di dewan sebuah sekolah di Likas, Kota Kinabalu. Gambar kecil: Mohd Arifin

KOTA KINABALU - Ajaran Ahmadiyah Qadiani telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah sejak 20 tahun lalu, sebelum diwartakan pada tahun berikutnya. 

Perkara itu didedahkan Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif susulan tangkapan 300 individu termasuk 12 pemimpin kumpulan ajaran sesat tersebut.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, susulan aduan awam yang diterima, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUUS) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) telah menjalankan operasi di dewan sebuah sekolah menengah di daerah ini. 

"Operasi tersebut melibatkan Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 yang dikendalikan oleh Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) yang juga berkait dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani.

"Hasil operasi yang dijalankan mendapati program tersebut telah pun berlangsung selama tiga hari bermula 29 sehingga 31 Mei 2026 dan dianggarkan telah dihadiri hampir 300 peserta dari seluruh negeri Sabah.

"Pelbagai bahan penerbitan, dokumen serta bahan promosi yang berkaitan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani telah dipamerkan dalam dewan sepanjang program berlangsung," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 

Katanya lagi, kesemua bahan berkaitan telah diambil tindakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Untuk makluman, ajaran Ahmadiyah Qadiani telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah pada tahun 2006 serta diwartakan pada tahun 2007. 

"Kerajaan negeri melalui JHEAINS memandang serius dalam sebarang usaha menyebarkan mana-mana ajaran yang telah pun difatwakan salah, sesat dan menyeleweng daripada pegangan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah diwartakan di Negeri Sabah pada tahun 2019, " katanya. 

Sehubungan itu, Mohd Arifin berkata, umat Islam di negeri ini hendaklah berwaspada dan menjauhi sebarang bentuk penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan kesucian akidah Islam.

"Kerajaan negeri melalui JHEAINS akan terus komited memperkukuh usaha pemantauan, penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan kesucian akidah umat Islam sentiasa terpelihara serta keharmonian masyarakat terus terjamin," tegasnya. 

Sebelum itu, beliau memaklumkan seramai 52 anggota Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) JHEAINS telah diarahkan untuk melaksanakan operasi tersebut dengan bantuan pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) melibatkan 25 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi mengawal keselamatan.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PDRM Sabah, khususnya IPD Kota Kinabalu atas kerjasama dalam memastikan kawalan keselamatan semsa operasi dijalankan terlaksana dengan baik lancar dan seterusnya bersama-sama membantu membanteras penyebaran ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam di negeri ini," katanya. 

Sinar Harian pada Isnin melaporkan 300 termasuk 12 pemimpin ditahan kumpulan ajaran sesat tersebut ditahan semasa program mereka yang berlangsung di dewan sebuah sekolah di Likas.