31 calon sah rebut kerusi Exco FAM

LocalFootball
9 Aug 2026 • 7:48 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 31 calon sah rebut kerusi Exco FAM

PETALING JAYA: Perebutan kerusi Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025-2029 semakin hangat apabila seramai 31 calon melepasi proses saringan kelayakan yang ditetapkan.

Calon-calon terbabit difahamkan telah menerima emel rasmi daripada sekretariat pemilihan FAM sekitar pukul 5 petang kelmarin yang mengesahkan mereka layak bertanding selepas lulus semua tapisan yang dijalankan.

Proses semakan itu melibatkan beberapa agensi utama termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi memastikan hanya individu yang memenuhi syarat dibenarkan bertanding.

Perkembangan itu membuka tirai kepada satu lagi episod penting dalam landskap bola sepak negara ketika FAM sedang melalui fasa penstrukturan semula organisasi yang menyaksikan pengurangan jumlah kerusi kepimpinan.

Antara calon yang mengesahkan penerimaan surat kelayakan ialah Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed yang bakal bersaing bagi jawatan Naib Presiden 1.

Bekas pemain dan jurulatih itu mengakui berasa lega selepas menerima pengesahan rasmi berkenaan dan menyifatkannya sebagai langkah awal dalam usahanya untuk membantu mengembalikan kredibiliti badan induk bola sepak negara.

Menurut Firdaus, beliau mahu memanfaatkan pengalaman luas yang dimiliki dalam dunia bola sepak bagi memastikan FAM kembali berada pada landasan yang tepat.

“Semua calon diberikan masa sehingga 2 September ini untuk menerima atau menolak pencalonan ini.

“Pertama kali saya berasa lega selepas menerima emel ini yang mengesahkan layak bertanding merebut jawatan naib presiden. Ini menjadi permulaan bagi usaha untuk saya memastikan FAM kembali dalam saluran yang betul.

“Jika diberi kepercayaan oleh ahli-ahli gabungan FAM, saya akan melaksanakan amanah dengan penuh integriti, keterbukaan dan semangat kebersamaan

“Marilah kita bersama-sama membina sebuah FAM yang lebih kukuh, lebih bersatu dan lebih dihormati. Masa depan bola sepak Malaysia bergantung kepada keberanian kita membuat pilihan yang tepat hari ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi calon bagi jawatan Naib Presiden 3, Afizal Abu Othman turut mengesahkan menerima emel pengesahan pencalonan dan menyifatkan peluang tersebut sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya itu mengakui dirinya mungkin dianggap muka baharu dalam arena politik bola sepak negara, namun yakin pengalaman lebih dua dekad dalam pembangunan sukan dan pengurusan organisasi mampu menjadi nilai tambah.

“Alhamdulillah, betul saya menerima emel pengesahan pencalonan semalam. Ikutkan saya muka baharu dalam ini berbanding calon-calon lain bagi jawatan Naib Presiden 3.

“Saya harap ahli-ahli gabungan FAM akan beri saya peluang untuk berada dalam FAM berdasarkan pengalaman yang saya ada lebih dua dekad dedikasi dalam pembangunan bola sepak dan sukan universiti serta pengurusan organisasi,” katanya.

Pemilihan kali ini turut menjadi tumpuan kerana ia berlangsung selepas FAM melaksanakan perubahan struktur pentadbiran seperti yang dicadangkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Melalui struktur baharu itu, jumlah kerusi kepimpinan dikurangkan daripada 17 kepada hanya 11 kerusi bagi memperkemaskan tadbir urus dan meningkatkan kecekapan pentadbiran organisasi.

Penstrukturan baharu menyaksikan satu jawatan Presiden, tiga Naib Presiden serta tujuh kerusi Exco yang mewakili pelbagai kelompok dalam ekosistem bola sepak negara.

Daripada tiga jawatan Naib Presiden, satu kerusi diperuntukkan secara automatik kepada Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), manakala tujuh kerusi Exco pula dibahagikan kepada wakil persatuan bola sepak negeri, kelab, badan berkepentingan serta wakil wanita.-UTUSAN

 

The post 31 calon sah rebut kerusi Exco FAM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved