SHAH ALAM - Penampilan calon termuda, Danish Hossman Abd Rahman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama tidak kesampaian apabila tewas kepada pencabarnya.
Pemuda berusia 23 tahun yang mewakili Pakatan Harapan (PH) itu tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Norlizah Noh dalam pertandingan tiga penjuru di DUN tersebut.
Danish Hossman hanya memperoleh 2,694 undi, Norlizah menang dengan 19,038 undi, manakala seorang lagi calon mewakili Perikatan Nasional (PN), Aisah Esa memperoleh 2,097 undi.
DUN Johor Lama yang terletak dalam Parlimen Kota Tinggi mempunyai 32,716 pemilih yang layak mengundi pada PRN kali ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 7 Julai sebagai hari pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian.
Seramai 2,727,926 pengundi layak mengundi pada PRN Johor kali ini, terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan serta 12,710 anggota polis dan pasangan.





