31 Lokasi Jalan Di Johor Bakal Guna Teknologi ‘Glow In The Dark’

5 Jan 2024 • 2:42 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

31 Lokasi Jalan Di Johor Bakal Guna Teknologi ‘Glow In The Dark’

KLUANG, 5 Jan (Bernama) — Sebanyak 31 lokasi jalan raya di Johor telah dipilih sebagai projek perintis bagi penggunaan teknologi ‘glow in the in dark’ atau bercahaya di dalam gelap bagi menaik taraf garisan jalan sebagai usaha kerajaan negeri mempertingkatkan keselamatan pengguna.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata teknologi dari Perancis itu berupaya meningkatkan mutu pemanduan khususnya di laluan yang memerlukan pencahayaan.

“Kita sudah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan 31 jalan telah dipilih sebagai lokasi projek perintis. Ini satu permulaan untuk kita kaji keberkesanan teknologi ini untuk digunakan di Johor.

“Kita akan dapatkan maklum balas pengguna menerusi media sosial dan sekiranya berkesan, kita akan perluas ke kawasan lain. Difahamkan ada kira-kira 80 kawasan yang memerlukan pencahayaan (jenis) ini,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di tapak projek berkenaan di Jalan Simpang Renggam-Jalan Renggam, di sini malam tadi.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta untuk menambah baik kemudahan infrastruktur jalan raya di negeri ini.

Onn Hafiz berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah turut memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta dan 2,230 unit lampu jalan untuk dibangunkan sepanjang tahun ini demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya khususnya di luar bandar.

“Di Simpang Renggam, memang kita yakin ia akan memberi manfaat kepada warga Johor dan juga Simpang Renggam. Sebagai contoh jalan dari Kahang menuju ke Mersing, memang jalannya sangat gelap, sudah semestinya memerlukan teknologi ini.

“Selain itu, lampu solar dan juga lampu ambar akan kita peruntukan di selekoh-selekoh jalan yang memerlukan pencahayaan,” katanya sambil menambah projek Jalan ‘Glow In The Dark’ di Jalan Simpang Renggam-Jalan Renggam, sepanjang 490 meter itu merupakan projek perintis pertama.

Pada 30 Nov 2023, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilapor berkata kerajaan negeri menerusi Belanjawan Johor 2024 memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf garisan jalan menggunakan teknologi ‘glow in the in dark’.

Sumber: BERNAMA