
JOHOR BAHRU – Seramai 318 pegawai dan anggota polis Johor digerakkan ke Negeri Sembilan bagi membantu dalam memastikan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu berlangsung secara aman, selamat dan terkawal.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, penugasan itu membabitkan 290 anggota tugas am dan 28 anggota trafik bagi memperkukuhkan aspek keselamatan dan kelancaran sepanjang tempoh pilihan raya bermula hari ini sehingga Isnin depan.
“Kontinjen Johor membantu Kontinjen Negeri Sembilan bagi memastikan semua urusan PRN berjalan lancar, sekali gus menjamin keselamatan orang ramai serta petugas pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelepasan Petugas Kontinjen Johor ke PRN Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menerusi Op Cantas turut berada dalam keadaan siap siaga di negeri ini untuk digerakkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.
Katanya, semua anggota terlibat diharap dapat melaksanakan tugas dengan penuh disiplin, profesionalisme dan integriti kerana membawa nama baik Kontinjen Johor dan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sepanjang penugasan, saya ingatkan semua anggota supaya mematuhi setiap arahan pegawai pemerintah, mengekalkan sikap berkecuali dan sentiasa mengutamakan keselamatan.
“Walaupun datang dari kontinjen dan formasi berbeza, kita tetap bergerak sebagai satu pasukan dengan satu matlamat iaitu memastikan proses demokrasi berjalan lancar dan terkawal,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post 318 pegawai, anggota Polis Johor digerak bantu PRN Negeri Sembilan appeared first on Kosmo Digital.





