
KUALA LUMPUR - Dianggarkan 32.3 juta pengguna WhatsApp di Malaysia berisiko menjadi sasaran serangan siber menerusi fail berniat jahat yang direka untuk menyusup masuk ke telefon pintar, mencuri maklumat peribadi serta mengakses akaun kewangan.
Fail berkenaan yang kelihatan seperti dokumen biasa atau aplikasi untuk dimuat turun boleh mengandungi perisian hasad (malware) yang mampu menceroboh peranti tanpa disedari pengguna, sekali gus mendedahkan maklumat sensitif kepada risiko kecurian.
Ancaman itu dibangkitkan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil dalam satu temu bual bersama Utusan Malaysia yang melaporkan risiko keselamatan membabitkan pengguna aplikasi pesanan tersebut.
Menurut Siraj, penggunaan WhatsApp secara meluas menjadikannya sasaran menarik penjenayah siber yang mengambil kesempatan terhadap kepercayaan pengguna terhadap mesej dan fail daripada kenalan mereka.
Beliau berkata, fail yang dikongsi menerusi WhatsApp berkemungkinan mengandungi fail Android Application Package (APK), perisian Trojan atau spyware yang membolehkan penggodam mengakses maklumat dalam peranti atau memantau aktiviti pengguna.
Katanya, beliau sendiri pernah menerima fail daripada nombor telefon yang tersimpan dalam senarai kenalannya, namun pemilik nombor berkenaan berkemungkinan sudah tidak menggunakannya.
“Saya mengenali gambar profil WhatsApp itu, tetapi fail yang dihantar bukan sesuatu yang biasanya dikongsi individu berkenaan. Saya mengambil keputusan untuk tidak membukanya dan terus memadamkannya,” katanya.
Siraj berkata, kesan serangan berkenaan bukan sahaja melibatkan kecurian maklumat peribadi, malah peranti yang diceroboh berpotensi digunakan untuk melakukan transaksi kewangan tanpa kebenaran atau menyebarkan malware kepada pengguna lain.
Beliau memberi amaran bahawa fail dijangkiti boleh tersebar dengan pantas apabila pengguna tanpa sedar memajukannya kepada ahli keluarga atau kumpulan WhatsApp.
Katanya, pengguna cenderung mempercayai fail yang diterima daripada individu dikenali, sekali gus memudahkan penyebaran malware atau perisian Trojan dari satu peranti ke peranti lain.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya mengambil langkah pencegahan termasuk mematikan fungsi muat turun automatik di WhatsApp bagi memastikan fail hanya dimuat turun apabila diperlukan.
Pengguna juga perlu berhati-hati terhadap mesej daripada nombor tidak dikenali walaupun gambar profilnya kelihatan seperti individu yang dikenali.
Selain itu, pengguna disaran mengaktifkan pengesahan dua langkah WhatsApp, memasukkan alamat e-mel untuk pemulihan akaun serta menggunakan ciri keselamatan tambahan seperti passkey dan pengesahan biometrik pada peranti yang menyokongnya.
Siraj berkata, penjenayah siber lazimnya menyasarkan maklumat yang boleh digunakan untuk mengakses akaun kewangan mangsa, termasuk kata laluan sekali guna (OTP) dan kod pengesahan transaksi (TAC).
Malah, pengambilalihan akaun WhatsApp membolehkan penjenayah menggunakan identiti mangsa untuk memperdaya individu lain dalam senarai kenalan mereka.
Maklumat seperti nombor telefon, dokumen peribadi, gambar, fail dan catatan dalam telefon turut berisiko diekstrak sebelum dijual secara pukal di dark web.
Beliau turut mengingatkan bahawa serangan malware boleh digunakan untuk tujuan pengintipan, dengan penjawat awam, wartawan, pengamal media, tokoh masyarakat, selebriti dan ahli politik antara golongan yang berpotensi menjadi sasaran.
Dalam pada itu, pengguna dinasihatkan mengelakkan penggunaan rangkaian Wi-Fi yang tidak dikenali atau sambungan internet tidak selamat, selain tidak memuat turun aplikasi daripada sumber tidak rasmi.
Siraj berkata, aplikasi APK cetak rompak yang menjanjikan akses percuma kepada perkhidmatan penstriman berbayar seperti Netflix, Astro dan Disney juga boleh menjadi saluran untuk mencuri data pengguna.
Beliau turut menggesa pengguna menyemak kebenaran akses yang diberikan kepada setiap aplikasi, khususnya membabitkan lokasi, galeri gambar dan penjejakan aktiviti.
Antara tanda telefon mungkin telah diceroboh termasuk bateri cepat habis, peranti menjadi panas, fungsi telefon terganggu serta masalah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS).
Pengguna juga perlu berwaspada sekiranya kod OTP yang diminta berulang kali gagal diterima kerana keadaan itu mungkin menunjukkan masalah keselamatan.
Mereka yang mengesyaki peranti telah diceroboh disaran segera mengambil langkah mengamankan akaun masing-masing dan mempertimbangkan untuk menetapkan semula telefon kepada tetapan kilang bagi membuang perisian hasad.
Sekiranya akaun bank disyaki diceroboh atau wang telah hilang akibat penipuan, orang ramai diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
Sebarang kebocoran data peribadi juga boleh dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi, manakala transaksi kewangan mencurigakan perlu dilaporkan terus kepada pihak bank.
Siraj turut mengingatkan pengguna supaya segera menghubungi bank untuk menyekat kad dan akses perbankan dalam talian sekiranya menerima notifikasi transaksi yang tidak dilakukan sendiri. - Getaran, 8 November 2026





