
Firma keselamatan siber ClearPhish melaporkan dakwaan penjualan data peribadi dan lokasi GPS masa nyata hampir 7.7 juta pengguna Waze di dark web.
KUALA LUMPUR: Seorang “pelaku ancaman” mendakwa menjual pangkalan data yang mengandungi butiran peribadi dan rekod lokasi rekod sistem penentu kedudukan global (GPS) masa nyata hampir 7.7 juta pengguna Waze di sebuah platform dark web, menurut firma keselamatan siber ClearPhish.
Data itu diiklankan untuk dijual di sebuah platform pasaran dark web atau web tertutup, dengan penjual mendakwa ia mengandungi maklumat sulit pengguna Waze, aplikasi navigasi milik Google.
Rekod yang didakwa bocor itu termasuk nama pengguna, nombor pengenalan unik pengguna (ID), sejarah perjalanan dan koordinat lokasi GPS masa nyata.
“Kebocoran itu amat membimbangkan kerana boleh membolehkan penyerang menjejaki pengguna secara masa nyata, sekali gus mendedahkan mereka kepada ancaman keselamatan seperti pegintai maya serangan tertentu atau kecurian identiti,” menurut laporan yang dikeluarkan pada Februari 2025 itu.
Menurut laporan itu, keselamatan data perkhidmatan navigasi berkenaan pernah dipersoalkan sebelum ini apabila penyelidik keselamatan siber Peter Gasper mendedahkan kelemahan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) yang boleh dieksploitasi untuk menjejaki pergerakan pengguna secara masa nyata.
“Walaupun Google dilaporkan telah membaiki beberapa kelemahan itu, dakwaan terbaharu menunjukkan bahawa Waze mungkin masih mempunyai banyak kelemahan dari segi keselamatan,” menurut laporan itu.
Keupayaan mengakses data GPS masa nyata dan pengecam unik mencetuskan kebimbangan serius kerana membolehkan penjenayah siber menjejaki pergerakan pengguna, memantau corak perjalanan atau menyamar sebagai individu untuk tujuan berniat jahat.
ClearPhish memberikan amaran bahawa kebocoran itu akan menimbulkan risiko serius terhadap privasi pengguna di seluruh dunia kerana data lokasi masa nyata yang terdedah memberikan ruang kepada pengintai maya, kecurian identiti dan pancing data, atau memanipulasi perkhidmatan navigasi sehingga mengancam keselamatan pengguna.
“Memandangkan Waze bergantung pada data yang dikumpulkan daripada pengguna, ketirisan itu turut menimbulkan persoalan sama ada kandungan lain yang dijana pengguna, seperti pilihan laluan dan laporan yang dikongsi turut terjejas,” menurut laporan itu.
Walaupun Google masih belum mengesahkan secara rasmi ketirisan berkenaan, pakar keselamatan siber menasihati pengguna Waze supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan segera bagi melindungi data peribadi mereka.
Pengguna disaran mengemas kini kata laluan akaun masing-masing, menyahaktifkan penjejakan lokasi pada peranti mudah alih ketika aplikasi tidak digunakan, berwaspada terhadap percubaan pancingan data atau aktiviti log masuk yang mencurigakan, serta mempertimbangkan penggunaan rangkaian persendirian maya (VPN) bagi memperkukuh perlindungan data.
Insiden itu memperlihatkan peningkatan risiko terhadap privasi pengguna aplikasi berasaskan lokasi. Pakar memberi amaran bahawa jika kebocoran data itu disahkan, Waze dan Google kemungkinan berdepan tindakan undang-undang.
“Buat masa ini, pengguna Waze perlu sentiasa berwaspada, mengehadkan kebenaran perkongsian data aplikasi itu dan mengikuti perkembangan kenyataan rasmi berhubung ketirisan berkenaan,” menurut laporan itu.
Semalam, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Sebagai alternatif, Perdana Menteri menggalakkan orang ramai memanfaatkan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).






