329 pelajar MRSM Ranau sertai Program Laluan Kerjaya Stem: Geologi

LocalTechnology
3 Oct 2025 • 3:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Seramai 329 pelajar aliran sains Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau menyertai Program Laluan Kerjaya Profesional Stem: Geologi.

Program kerjaya itu adalah salah satu usaha memupuk minat generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).

Dijayakan bersama Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Malaysia Sabah (UMS), SGS Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah, Institut Geologi Malaysia (IGM) dan Society of Petroleum Engineers (SPE) itu untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai prospek kerjaya dalam bidang Stem dengan tumpuan khas kepada bidang Geologi.

FST UMS Profesor Ts Gs Dr Rodeano Roslee menjelaskan fakulti berkenaan akan meneruskan komitmen terhadap usaha menyediakan pendidikan berkualiti tinggi sejajar keperluan industri serta perkembangan semasa bidang geosains.

“Kehadiran ahli akademik berpengalaman dan jaringan strategik antara universiti, industri serta agensi kerajaan mampu melonjakkan minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi.

“FST UMS juga komited untuk terus memberi bimbingan dan sokongan kepada pelajar sekolah melalui aktiviti pendedahan awal, penyelidikan serta latihan industri,” katanya dalam ucapan sempena perasmian program tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah JMG Sabah Jenneth @ Liliana Cyril.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pensyarah Kanan FST Dr Mohd Al Farid Abraham.

Beliau turut berharap agar program tersebut mampu menjadi platform penting dalam membina kesedaran awal kerjaya serta menyemai minat pelajar terhadap bidang Stem.

“Harapan juga agar menerusi program ini dapat melahirkan generasi profesional yang inovatif, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan khususnya dalam bidang Geologi dan Geosains,” ujar beliau.