Lebih separuh pelajar Sabah pilih STEM pada 2024

LocalTechnology
27 Sep 2025 • 3:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Lebih separuh pelajar sekolah di Sabah memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada 2024, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata ini menjadi satu penanda aras yang kukuh dalam menyokong seruan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan penyertaan dalam bidang kritikal ini.

“Kami tahu industri hari ini dan masa depan amat memerlukan pekerja yang berkemahiran tinggi. Cabaran ini tidak dapat diatasi hanya oleh sekolah dan universiti sahaja.

“Industri mesti bekerjasama untuk menyediakan latihan, bimbingan, dan peluang pekerjaan yang sepadan dengan keperluan pasaran,” katanya pada program YES! Rock the School Edisi Mega Sabah 2025 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.

Ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang meletakkan Sabah sebagai pusat ekonomi biru berpotensi tinggi merangkumi sektor perikanan, akuakultur, pembinaan kapal, pelancongan pantai, dan tenaga laut boleh diperbaharui, program YES! Rock the School Edisi Mega Sabah 2025 menyediakan pelajar dengan kemahiran, pendedahan dan laluan kerjaya yang diperlukan untuk merebut peluang dalam sektor-sektor yang sedang berkembang pesat.

Program itu dilaksanakan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Negeri untuk memperkasa belia Sabah dengan kesedaran kerjaya awal dan penglibatan industri.

Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp Wong Shu Qi berkata permintaan untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peranan yang berkaitan STEM adalah sangat kritikal, terutamanya dalam bidang petroleum, mekanikal, dan kejuruteraan elektrik.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka keperluan kemahiran masa depan dan menemui laluan kerjaya yang paling sesuai dengan minat dan potensi mereka.

“Pada masa sama, ia memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dan bersedia menghadapi cabaran dunia kerja yang sentiasa berkembang,” katanya.

Program YES! Rock the School Edisi Mega Sabah 2025 selama dua hari satu malam itu mengumpulkan lebih 500 pelajar dari 28 sekolah di seluruh negeri.