
PETALING JAYA – Kualiti udara di beberapa negeri dilaporkan kekal terjejas apabila sebanyak 33 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat pagi ini.
Berdasarkan data terkini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Batu Pahat di Johor mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 190.
Situasi sama turut membabitkan beberapa kawasan lain di Johor iaitu Tangkak dengan IPU 186, Larkin (185), Pasir Gudang (184), Segamat (181), Kluang (177), Kota Tinggi (172) dan Pengerang (169).
Di Negeri Sembilan, kawasan Seremban merekodkan bacaan IPU 183, manakala Nilai mencatatkan IPU 179 dan Port Dickson berada pada bacaan 164.
Bagi Melaka pula, tiga kawasan berada pada paras tidak sihat iaitu Bukit Rambai (175), Alor Gajah (173) dan Bandaraya Melaka (173).
Lembah Klang turut terjejas teruk apabila Cheras mencatatkan IPU 175, diikuti Batu Muda (169), Putrajaya (167), Shah Alam (167), Johan Setia (165), Petaling Jaya (161), Klang (157), Banting (154) serta Kuala Selangor (152).
Sementara itu, di Perak, kawasan Tasek Ipoh mencatatkan IPU 174, Pegoh Ipoh (170), Tanjung Malim (168) dan Seri Manjung (152). Bagi Pahang, dua kawasan terjejas iaitu Rompin (168), Indera Mahkota Kuantan (141) dan Temerloh (139).
Bagi Pulau Pinang dan Sarawak, bacaan tidak sihat direkodkan di Seberang Perai (123), Kuching (153) serta Samarahan (109). – KOSMO! ONLINE
The post 33 kawasan catat IPU tidak sihat, Batu Pahat paling tinggi appeared first on Kosmo Online.






