
ALOR SETAR – Semua institusi pendidikan di Kedah akan beroperasi seperti biasa pada esok susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua kawasan pemantauan negeri itu masih di bawah paras 100.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bacaan IPU sehingga pukul 2 petang tadi menunjukkan keadaan kualiti udara di negeri itu masih terkawal.
Bagaimanapun, operasi semua institusi pendidikan itu tertakluk kepada sebarang arahan terbaharu daripada Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa berkaitan.
“JPN Kedah turut mengingatkan pihak pentadbir sekolah supaya sentiasa memantau bacaan IPU melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar serta mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan.
“Pihak sekolah juga diminta memberi perhatian kepada murid dan warga pendidikan yang sensitif terhadap kualiti udara, selain mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat individu yang menunjukkan gejala tidak sihat,” katanya.
JPN Kedah akan terus memantau perkembangan jerebu dan menyelaras tindakan bersama semua Pejabat Pendidikan Daerah serta institusi pendidikan berdasarkan bacaan semasa dan arahan pihak berkuasa.
Terdahulu, JPN Kedah menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung kepentingan menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Sekolah di Kedah beroperasi seperti biasa esok appeared first on Kosmo Online.




