
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memperluas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) ke 333 sekolah berasrama tahun ini menerusi peruntukan tambahan RM5 juta bagi memperkukuh aspek pemantauan dan keselamatan murid dalam usaha menangani isu buli.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, sebanyak 300 pembantu warden MySTEP turut ditempatkan mulai April lepas bagi membantu memantau murid di asrama, khususnya pada waktu malam.
“Saya faham keresahan ibu bapa setiap kali berlaku kes buli. Saya juga seorang ibu. Anak saya sendiri pernah belajar dan tinggal di asrama dalam sistem pendidikan yang sama.
“Ada langkah yang sudah kita mulakan sejak beberapa tahun lepas. Ada juga yang baru kita tambah apabila melihat masih ada ruang yang perlu diperbaiki,” katanya menerusi hantaran di Facebook mengenai langkah KPM menangani isu buli di sekolah.
Beliau berkata sistem aduan buli KPM turut ditambah baik dengan menyediakan fungsi aduan secara anonim menerusi Portal Aduan Buli KPM bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.
Selain itu, usaha pencegahan dan intervensi awal turut diperkukuh menerusi Kerangka S.A.F.E yang merangkumi pendekatan pencegahan, intervensi awal dan pemulihan, termasuk melalui Pembimbing Rakan Sebaya dan Kaunseling Berfokus.
Fadhlina berkata, Pendidikan Karakter akan diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 dengan penekanan terhadap nilai dan sahsiah termasuk integriti serta empati.
Beliau berkata, KPM turut bekerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam penggubalan Akta Antibuli 2026 yang turut memperuntukkan penubuhan Tribunal bagi Antibuli sebagai saluran untuk mangsa mendapatkan pembelaan.
The post 333 sekolah asrama dipasang CCTV appeared first on Kosmo Online.





