Buli perlu ditangani semua pihak, jangan salahkan KPM semata-mata

LocalFamily & Parenting
29 Sep 2026 • 11:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Buli perlu ditangani semua pihak, jangan salahkan KPM semata-mata

KUALA LUMPUR: Insiden buli perlu ditangani secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak terdiri daripada ibu bapa, guru, sekolah dan komuniti.

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penyelesaian terhadap gejala buli tidak boleh diletakkan pada bahu guru di sekolah mahupun pihak kementerian semata-mata.

Beliau pada masa sama berkata, Kementerian Pendidikan boleh memperkukuhkan sistem sokongan bagi menangani perkara ini secara menyeluruh.

“Persoalannya adalah bagaimana kementerian boleh memperkukuhkan lagi sistem sokongan untuk menangani perkara ini secara menyeluruh. Memang kita sudah mempunyai kaunselor di sekolah, tetapi kadangkala jumlah mereka tidak mencukupi.

“Selain buli dalam bilik darjah, kita juga perlu melihat isu buli yang berlaku di asrama, termasuk sesama penghuni bilik dan pelajar.

“Platform Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga perlu dimanfaatkan dengan lebih berkesan. Semua pihak perlu mengambil tanggungjawab secara kolektif. Isu buli dan kesihatan mental pelajar tidak boleh diselesaikan oleh seorang guru atau pihak kementerian sahaja kerana ia memerlukan kerjasama dan komitmen bersama semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mahdzir berkata, gejala buli pada hari ini lebih kompleks kerana bukan sahaja melibatkan fizikal, tetapi turut melibatkan tekanan mental dan psikologi.

Beliau berkata, kesannya, ada pelajar yang mengalami tekanan, kemurungan, ketakutan dan akhirnya terpaksa mendapatkan rawatan daripada doktor atau kaunselor.

“Perkara yang agak sukar untuk dikawal pada masa ini ialah pengaruh media sosial. Di sesetengah negara, mereka sudah mula memperkenalkan undang-undang yang menetapkan hanya mereka yang berumur 16 tahun ke atas boleh menggunakan platform media sosial.

“Langkah itu dibuat kerana banyak isu seperti buli, tekanan dan gangguan psikologi turut berpunca daripada penggunaan media sosial,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian mangsa di asrama sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

The post Buli perlu ditangani semua pihak, jangan salahkan KPM semata-mata appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved